Rabu, 26 Januari 2022

PRN Johor: Bersatu bukan pembangkang, rundingan hanya sesama kami, kata Anwar

 

Anwar Ibrahim berkata rundingan dengan Bersatu untuk PRN Johor tidak berbangkit kerana perbincangan hanya membabitkan pembangkang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan Bersatu bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Pengerusinya Anwar Ibrahim berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana perbincangan hanya membabitkan pembangkang.

“Bersatu pembangkang?,” kata Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR, hari ini.

Semalam, bekas Ahli Jawatankuasa Amanah, Mazlan Aliman mencadangkan supaya kerjasama blok pembangkang perlu diperluaskan kepada parti dalam Perikatan Nasional (PN), jika PH mahu menundukkan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor.

Beliau berkata, PH perlu memikirkan kerjasama lebih luas berbanding hanya melihat kepada parti pembangkang seperti Pejuang, Warisan dan MUDA.

Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli, turut mencadangkan supaya diwujudkan Muafakat Rakyat Johor (MRJ) yang menggabungkan PN bersama semua parti pembangkang termasuk PH, Pejuang, MUDA dan Warisan untuk bertanding pada PRN Johor.

Razrul berkata, formula meletakkan PN, PH dan parti pembangkang bawah satu panji adalah relevan dan dilihat terbaik.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan