Ahad, 16 Januari 2022

RM118,000 milik guru lesap diperdaya Macau Scam

 

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Collin Babat, berkata mangsa diarahkan menggadaikan barang kemas miliknya dengan mangsa memindahkan RM16,000 ke akaun bank.

PETALING JAYA: Seorang guru wanita di Sibu menanggung kerugian RM118,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar dari syarikat insurans.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Collin Babat, berkata dalam kejadian berlaku pada 28 Okt lalu, mangsa berusia lewat 50-an menerima panggilan daripada seorang individu memperkenalkan diri dari sebuah syarikat insurans mendakwa mangsa ada membuat tuntutan insurans sebanyak empat kali.

Katanya, mangsa yang menafikan perkara itu telah disambungkan dengan pihak ‘polis Bukit Aman’.

“Mangsa telah bercakap dengan seorang yang berpangkat ‘Inspektor’ dan telah dimaklumkan terlibat dengan pengubahan wang haram sebanyak RM1.8 juta dan kemudian dihubungkan dengan seorang ‘peguambela’ bagi tujuan membantu mangsa membersihkan nama,” katanya menurut laporan Utusan Borneo.

Collin berkata, pada 7 Nov lalu, mangsa telah membuka akaun bank dan menyerahkan gambar kad ATM dan nombor pin kepada suspek dan pada 15 Nov, mangsa diarahkan membuat pinjaman kepada sebuah bank di Sibu dan pinjaman sebanyak RM75,000 itu, telah diluluskan pada 23 Nov.

Menurutnya, pada hari sama, mangsa telah memindahkan wang tersebut ke dalam akaunnya melalui kaunter bank tersebut.

“Pada 9 Dis 2021, mangsa diarahkan dan telah membuat pinjaman kepada sebuah lagi bank dan pinjaman sebanyak RM27,000 telah diluluskan. Pada hari yang sama mangsa telah memindahkan wang tersebut ke akaun bank miliknya.

“Pada 13 Dis, mangsa diarahkan dan telah menggadaikan barang kemas miliknya berjumlah RM20,000 yang dikreditkan ke akaun bank miliknya. Pada 16 Dis mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM16,000 ke akaun bank,” ujarnya.

Collin berkata, mangsa telah diarahkan untuk tidak memaklumkan perkara ini kepada sesiapa dan semua dokumen transaksi telah dibuang.

“Namun, pada 12 Jan 2022, mangsa telah menceritakan perkara tersebut kepada suaminya dan telah sedar dirinya ditipu dan berikutan itu mangsa mengalami kerugian sebanyak RM118,000,” katanya.

Menurutnya, modus operandi suspek memperdaya mangsa membuka akaun bank untuk mangsa memindahkan wang bagi tujuan pembersihan nama dari kes pengubahan wang haram yang tidak wujud.

-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan