PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilihat tidak mempunyai banyak pilihan dari kalangan Ahli Parlimen sedia ada untuk membuat rombakan menggantikan Jemaah Menterinya yang gagal, kata Mohamed Khaled Nordin.
Naib Presiden Umno itu berkata, siapa yang hendak dibuang Ismail dan siapa yang akan menggantikan kekosongan itu bergantung kepada sokongan parti masing-masing, jika silap percaturan Perdana Menteri bakal hilang sokongan.
“Umno berada dalam kedudukan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Perdana Menteri dari Umno tetapi Umno tidak menguasai kerajaan.
“Umum pun tahu, beliau mewarisi Jemaah Menteri dari Kerajaan PN (Perikatan Nasional) yang tumbang itu. Hampir semua penyumbang kerajaan PN yang gagal itu terus berada dalam kerajaan Ismail Sabri,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Khaled berkata, menyalahkan Perdana Menteri kerana kelemahan ketara kerajaan sekarang adalah suatu yang mudah, namun beliau mengingatkan jika orang lain berada dalam kedudukan Ismail, mereka juga akan sukar melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.
Tambah Khaled, Perdana Menteri tahu keyakinan rakyat terhadap kerajaan pimpinannya kini semakin menurun dengan drastik, namun kedudukan Ismail sangat bergantung kepada parti-parti kecil dalam kerajaan sekarang yang sangat menyukarkan beliau.
“Yang terpukul ialah Umno kerana setiap kelemahan kerajaan, Umno yang akan menerima bukan sekadar tempias, tetapi ‘the hurricane of people’s anger’.
“Namun Umno juga tidak boleh membiarkan Perdana Menteri keseorangan. Beliau adalah wakil Umno dan beliau sepatutnya menjadi suara Umno. Kalau beliau gagal, Umno yang dituduh gagal. PM pasti mengerti ini,” katanya.
Katanya, Umno sedang bekerja keras untuk mencari strategi keluar daripada kemelut itu, namun buat masa ini tambah beliau, dilemma Umno akan berterusan.-FMT
0 ulasan:
Catat Ulasan