Khamis, 27 Januari 2022

Tarif baharu elektrik tidak bebankan rakyat - Takiyuddin

 Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) bersama Takiyuddin (dua dari kanan) melawat projek solar berskala besar. FOTO BERNAMA

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) bersama Takiyuddin (dua dari kanan) melawat projek solar berskala besar. FOTO BERNAMA

Dungun: Kadar tarif baharu elektrik tidak akan membebankan rakyat yang masih terkesan dengan penularan Covid-19.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tarif baharu elektrik bagi tahun ini sehingga 2024 sudah diputuskan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Saya sudah berbincang dalam kabinet sebanyak enam kali berturut-turut (dan) Alhamdulillah, semalam kita telah memuktamadkan, jadi saya rasa tak lama (pengumuman akan dibuat).

"Silap-silap hari ini (pengumuman dibuat) dan kita akan melaksanakan IBR (Kawal Selia Berasaskan Insentif) dan RP3 2022-2024 (Tempoh Regulatori Ketiga IBR) pada 1 Februari ini.

"Jadi anda boleh teka bila kita akan umumkan dan (mengenai harga) itu kena tunggu Suruhanjaya Tenaga akan umumkan tetapi saya boleh bagi gambaran tidak sama sekali membebankan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Projek Large Scale Solar (LSS) 29.99 MWac Kenyir Gungkul Solar Sdn Bhd di Paka di sini hari ini.

Terdahulu, majlis perasmian itu disempurnakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Takiyuddin berkata, selaras dengan hasrat kerajaan mempertingkatkan kemampuan tenaga melalui strategi memperkukuhkan sektor elektrik, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan terus memastikan sektor bekalan elektrik diuruskan secara strategik supaya pengguna dapat terus menikmati perkhidmatan bekalan elektrik yang berdaya harap, lestari dan mampu bayar.

Katanya, KeTSA juga mewujudkan industri pembekalan elektrik negara yang kalis cabaran melalui pengukuhan sistem bekalan elektrik di Semenanjung bagi menampung peningkatan kemasukan tenaga solar ke dalam sistem yang diperkukuhkan demi menampung pertambahan beban pada masa hadapan.

"Sistem solar fotovolta yang dijanakan oleh sumber semula jadi ini lebih mesra alam kerana secara langsung ia dapat mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida seterusnya membantu mengurangkan tahap penipisan lapisan ozon.

"Kerajaan turut menyeru kepada syarikat tenaga solar yang lain untuk sama-sama membangunkan teknologi supaya kita dapat membantu melestrarikan alam sekitar dengan lebih luas untuk manfaat bersama," katanya.

-myMetro

0 ulasan:

Catat Ulasan