Jumaat, 7 Januari 2022

‘Saya curi tapi kamu, keluarga berbilion-bilion aset?’, Najib sindir Dr M berhubung dakwaan kes SRC

 

Najib Razak menyindir Dr Mahathir Mohamad dengan mempersoalkan sama ada anak beliau pernah memiliki kepentingan besar dalam lebih 12 syarikat disenarai seperti keluarga Ahli Parlimen Langkawi itu.

PETALING JAYA: Ketika masih berdepan kes mahkamah berkaitan 1MDB, Najib Razak hari ini tampil membidas dakwaan Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak pernah mencuri dan tidak pernah didakwa kerana mencuri dan merompak.

“Saya tidak pernah didakwa mencuri atau merompak.

“Tak sama dengan kes (Lim) Guan Eng yang didakwa bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, iaitu meminta atau menerima suapan dan juga bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan – criminal misappropriation of property,” katanya di Facebook.

Beliau yang juga didakwa bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 itu sekali lagi menegaskan, ia bukan untuk kegunaan peribadi.

“Bukan curi dan rompak sebab wang bukannya untuk kegunaan peribadi saya atau keluarga. Semasa menjatuhkan hukuman, hakim juga kata bahawa dana RM42 juta bukan hak Najib untuk sedekah.

“Jika saya curi dan rompak, apa yang saya beli dengan hasil curian ini untuk diri sendiri atau keluarga?” soalnya.

Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lalu mengekalkan keputusan bersalah dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes penyelewengan RM42 juta dana bekas anak syarikat 1MDB, iaitu SRC International Sdn bhd.

Sabitan dan hukuman bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Persekutuan, mahkamah paling tinggi dalam negara.

Dalam pada itu, beliau turut menyindir Mahathir dengan mempersoalkan sama ada anak-anak beliau pernah memiliki kepentingan besar dalam lebih 12 syarikat disenarai seperti keluarga Ahli Parlimen Langkawi itu.

“Adakah saya memiliki ladang kuda, projek resort tepi pantai, sebahagian kepentingan dalam hotel mewah lima bintang ataupun syarikat perkhidmatan jet peribadi seperti kamu?

“Saya yang mencuri tapi kamu dan keluarga berbilion-bilion aset pula?” soal Najib.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan