Khamis, 20 Januari 2022

Pemuda PKR berarak ke Parlimen gesa Azam Baki letak jawatan

 

Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir menyerahkan memorandum kepada Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Lebih 50 ahli Pemuda PKR berarak ke Parlimen untuk menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki meletak jawatan.

Sayap itu yang diketuai Ketuanya, Akmal Nasir berhimpun di luar Parlimen hari ini untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun.

Memorandum itu mengandungi lapan tuntutan, termasuk segera menggantung Azam dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pemilikan saham Azam.

Tuntutan lain termasuk langkah mengelakkan rasuah pada masa depan seperti pindaan terhadap Akta SPRM untuk semak dan imbang lebih baik, meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di bawah Parlimen dan perlindungan lebih baik di bawah undang-undang pemberi maklumat.

“Semak dan imbang dalam SPRM tidak berfungsi lagi, jadi kita perlu mengambil tindakan segera,” katanya kepada pemberita.

Memorandum itu turut diluluskan oleh lebih 20 kumpulan belia.

Anwar menerima memorandum itu di luar Parlimen dan berjanji bersama-sama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akan membangkitkan tuntutan itu kepada Perdana Menteri di Parlimen serta menggesa tindakan segera diambil.

“Rasuah dalam negara kita ialah endemik dan sistemik serta perlu ditangani atau kita akan menyaksikan seluruh sistem runtuh,” kata Anwar.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan