Jumaat, 7 Januari 2022

Isu Azam Baki dan saham: PAS Pusat, Pemuda beza pandangan?

 

Beban pembuktian terletak pada pihak yang membuat dakwaan bagi membuktikan segala tuduhan ke atas Azam Baki berasas, sekiranya tidak ia adalah sekadar tuduhan melulu, menurut Takiyuddin Hassan.

PETALING JAYA: PAS menyambut baik langkah Azam Baki yang secara terbuka memberikan penjelasan tentang tuduhan terhadapnya berkaitan dakwaan isu pemilikan saham, kata Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan.

Kenyataan itu dilihat bertentangan dengan desakan Pemuda PAS yang mahu Putrajaya mengadakan siasatan secara bebas berhubung isu pemilikan saham jutaan ringgit yang dikaitkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Takiyuddin bagaimanapun berpuas hati dengan penjelasan Azam kelmarin bahawa beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Kenyataan terbuka Ketua Pesuruhjaya SPRM tersebut yang berupa penafian terhadap tuduhan berkenaan diharap dapat menghentikan tindakan beberapa pihak yang kelihatan sengaja membangkitkan isu seumpamanya bagi menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat.

“Dengan ini juga, beban pembuktian terletak ke atas pihak yang masih terus membuat dakwaan yang serupa bagi membuktikan segala tuduhan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan berasas, sekiranya tidak ia adalah sekadar tuduhan melulu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, PAS yakin pihak berkuasa akan meneliti kenyataan tersebut dan menilai serta seterusnya mengambil tindakan yang adil kepada semua pihak berdasarkan fakta dan undang-undang.

Semalam, Pemuda PAS mendesak Putrajaya mengadakan siasatan secara bebas berhubung isu pemilikan saham jutaan ringgit yang dikaitkan kepada Azam.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari, juga mahukan Azam “direhatkan” sehingga siasatan itu selesai dan namanya dibersihkan.

Isu itu tercetus pada 14 Dis lalu apabila Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah mendakwa Azam adalah pemilik lebih empat juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu beliau merupakan Pengarah Siasatan SPRM antara 2015 dan 2016.

Tidak lama kemudian ahli ekonomi, Edmund Terence Gomez, meletak jawatan sebagai ahli panel SPRM selepas mendakwa panel itu tidak memberi perhatian sewajarnya kepada tuduhan terhadap Azam.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan