PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, rakyat kecewa dengan kegagalan Suruhanjaya Sekuriti (SC) memastikan sama ada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki melanggar Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) atau SICDA.
Katanya, undang-undang melarang perdagangan saham secara proksi, tetapi SC tidak mendedahkan sama ada adik Azam, Nasir mempunyai akaun dagangan saham atau jika beliau melakukan dagangan saham secara proksi serta sumber dana untuk pembelian itu.
Beliau berkata, jika SC tidak dapat bertindak ke atas dagangan saham secara proksi, maka ia perlu menjelaskan tindakan terhadap sekurang-kurangnya tiga individu yang didenda jutaan ringgit atas kesalahan sama sebelum ini.
“Ini secara jelas satu amalan antara dua darjat. Adakah SC akan mengembalikan denda yang telah dibayar dan memohon maaf kerana mendakwa mereka?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Lim berkata, respons SC bercanggah dengan tugas undang-undangnya sebagai pengawal selia pasaran modal.
Katanya, Azam secara jelas dan terbuka mengakui beliau membenarkan adiknya melakukan dagangan saham secara proksi.
“Seperti setiap pasaran modal maju di dunia, Seksyen 25(4) SICDA melarang perdagangan saham secara proksi dengan memperuntukkan akaun dagangan mesti dibuka atas nama pemilik sebenar atau penama yang diberi kuasa.”
Terdahulu, SC berkata, “ia tidak dapat memastikan secara konklusif berlaku kesalahan di bawah Seksyen 25(4) SICDA”.
Azam menafikan sebarang salah laku dan berkata pembelian lebih 4 juta saham dan waran dua syarikat tersenarai awam dilakukan adiknya menggunakan akaun dagangan beliau, yang kemudian dipindahkan ke akaun Nasir pada tahun sama.
Azam berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada pihak atasan ketika itu.-FMT
0 ulasan:
Catat Ulasan