Isnin, 24 Januari 2022

PRN Johor: PKR pertimbang guna lambang sendiri bukan PH - Anwar

 

Logo PKR.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak mereka akan menggunakan lambang sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan nanti.

Anwar berkata isu pemilihan penggunaan sama ada lambang rasmi Pakatan Harapan (PH) atau PKR tersebut akan digunakan dalam PRN Johor akan dimuktamadkan dalam masa dua hari lagi, namun memberitahu akar umbi partinya mahu lambang sendiri digunakan dan bukan lambang PH.

“Kita zahirkan (dalam mesyuarat) tadi bahawa setelah pengalaman di Melaka, akar umbi PKR agak kuat meminta agar logo PKR digunakan,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Terdahulu, Anwar menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung kira-kira dua jam di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Menurut Anwar lagi, gesaan itu hanya untuk kerusi yang ditandingi calon PKR.

“Pandangan kawan-kawan lain merasakan lebih sesuai (logo) PH. Jadi kita akan muktamadkan dalam dua hari lagi,” katanya lagi.

Terdahulu, seorang pemimpin PH Johor menyuarakan harapan agar isu tersebut dapat diselesaikan dalam mesyuarat hari ini.

Ekoran pencapaian buruk PH dalam PRN Melaka pada November lalu – ketika itu menggunakan logo gabungan – PKR membangkitkan agar gabungan itu kembali menggunakan logo PKR dalam pilihan raya akan datang.

Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Pada hari sama, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Minggu lalu, Hasni memberi jaminan sistem penyampaian kerajaan negeri tidak akan terganggu sekiranya PRN diadakan di negeri itu dan jentera kerajaan akan terus berfungsi sepanjang tempoh berkenaan.

-Agenda Daily

0 ulasan:

Catat Ulasan