GEORGE TOWN: Kumpulan ketiga 2,959 pelanggan memfailkan saman tindakan kelas terhadap CIMB Bank atas kecuaian berhubung ralat kredit pendua yang menyebabkan akaun mereka dibekukan dan berhutang.
Mereka mendakwa tindakan bank membekukan akaun dan kemudian memasukkan jumlah terhutang tanpa persetujuan mereka menyalahi undang-undang.
Terdahulu, 662 pelanggan lain dilapor memfailkan dua saman berasingan terhadap bank itu berhubung insiden sama Februari lalu, CIMB berkata, ralat pemprosesan berkaitan perkhidmatan kiriman wang pihak ketiga menyebabkan pemindahan dibuat kepada pelanggan diproses dua kali secara tidak sengaja. Bank itu kemudiannya berkata, ia cuba mendapatkan semula jumlah pendua itu, tetapi menafikan dakwaan salah laku dan akan mempertahankan diri.
Dalam saman terbaharu yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 April lalu, seramai 2,959 pelanggan meminta jumlah yang diambil dari akaun mereka dikembalikan kerana ia didebitkan secara salah.
Mereka mendakwa sudah menghubungi bank itu pada pertengahan 2020 berhubung “jumlah pendua” dan diberitahu ia adalah sah.
Mereka memohon deklarasi bahawa CIMB melanggar kewajipan fidusiarinya dengan tidak memastikan jumlah wang yang dikreditkan itu ke akaun adalah teratur.
Menurut mereka, bank itu turut melanggar kontrak dengan gagal memberikan notis mencukupi sebelum mengambil jumlah pendua dari akaun mereka.
Sehubungan itu, mereka menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk dengan faedah 5% setahun dari tarikh saman difailkan berserta kos.
Menurut pemfailan mahkamah oleh Tetuan Isa Aziz Ibrahim, 2,959 pelanggan itu mempunyai lebih 3,000 akaun dengan CIMB.
Seramai 2,957 plaintif dalam saman itu diwakili Fadhlina Abdul Rahman, 40, dan Kamarul Hisham Abdul Hadi, 44.
Dalam respons segera terhadap saman itu, CIMB berkata, disebabkan ini adalah prosiding undang-undang, ia akan mempertahankan pendiriannya dengan tegas dan menyerahkan keputusan kepada proses wajar mahkamah.
Semua langkah pemulihan yang diambil selaras amalan standard industri dan selepas notis serta pemberitahuan sewajarnya. Bank kekal komited dalam mencapai penyelesaian adil dan terurus dengan pelanggan terjejas.”
Dalam dua saman terdahulu yang difailkan 662 pelanggan, CIMB berkata, ia tidak melanggar sebarang kontrak dengan pemegang akaunnya kerana ia bebas memasukkan atau menahan mana-mana akaun dikehendakinya.
Bank itu berkata, akibat kredit penduan itu, pemegang akaun “diperkayakan secara tidak adil” dan tidak memaklumkan kepada bank mengenai jumlah pendua dalam akaun mereka.
CIMB berkata, ia dibenar mendapatkan kembali jumlah pendua itu kerana ia berhak secara sah dan kontrak untuk berbuat demikian.-wrlr
0 ulasan:
Catat Ulasan