Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa memorandum kerjasama (MoU) Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan tidak akan diteruskan selepas tamat 31 Julai ini menunjukkan usaha yang dirintis oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini diambil alih oleh elit Umno.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, sebaik sahaja idea dan usaha PM Ismail untuk berbaik baik dengan pembangkang diambil alih oleh Umno dengan tawaran beliau akan dicalonkan sebagai PM pada Pilihan Raya Umum ke 15 maka Ismail tidak lagi memiliki kuasa penuh dalam pemerintahannya.
“Ini adalah “horse-trading” di dalam rumahtangga Umno di mana Kluster Mahkamah masih memegang hulu parang dan Perdana Menteri yang merupakan hanya Naib Presiden Umno menjadi seorang pemimpin dalam tebusan.
“Tolak ansur dan tawar menawar antara PM Ismail Sabri dengan Presiden Umno bermakna Parlimen akan dibubarkan tidak lama lagi selepas MoU tamat pada 31 Julai 2022.
“Selepas itu Perdana Menteri akan mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihatkan Baginda agar membubarkan Parlimen dan PRU diadakan dalam tempoh 60 hari,” katanya.
Hassan menolak PM yang dikawal oleh elit parti dan setiap tindakannya lebih cenderung untuk memastikan apa sahaja yang diusahakan Umno menjadi kenyataan, meskipun akan merugikan rakyat terbanyak.
Kata Hassan, sebelum ini PM adalah watak yang kuat dan tidak ditentukan tindak tanduknya oleh parti.
“Selama ini PM seorang yang berwibawa dan berkuasa dalam menentukan hal ehwal negara. Perdana Menteri ketua Eksekutif dan Ketua Jemaah Menteri atau Kabinet. Perdana Menteri adalah Ketua Majlis Mesyuarat bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“PM adalah orang yang menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk perlantikan hakim-hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan serta segala jawatan penting dan utama negara seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengerusi SPR, Ketua PDRM dan Ketua Angkatan tentera Malaysia juga duta-duta ke negara asing.
“Perdana Menteri juga orang yang diberi hak dan kuasa oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan bilakah tarikh pilihan raya dan Parlimen patut dibubarkan. Kuasa itu miliknya sendiri di bawah Perlembagaan dan Perdana Menteri tidak perlu tunduk dan berkompromi dengan sesiapa termasuk parti politik yang diwakilinya.
“Tetapi kini Malaysia memiliki seorang PM yang boleh ditolak oleh Umno ke sana dan ke sini,” ujarnya.
Justeru, menurut Hassan, rakyat harus sedar hakikat PM ‘terikat tangannya’ dan tidak wajar memberikan sokongan melulu kepada PM seperti itu yang dikuasai elit sesebuah parti.
Katanya, hal itu amat merbahaya apabila sebahagian elit Umno itu merupakan kluster mahkamah yang dibuktikan telah melarikan berpuluh juta atau malah berbilion wang rakyat.
“Malaysia perlukan seorang PM yang kuat, berwibawa dan berintegriti. Malaysia perlukan PM yang memimpin, bukannya seorang yang dipimpin oleh Kluster Mahkamah Umno seperti sekarang ini.
“Pemimpin yang lemah dan boleh dicucuk hidung bukanlah seorang PM yang diimpikan oleh rakyat. PM yang menjadi tawanan tebusan pemimpin-pemimpin Kluster Mahkamah dari partinya sendiri wajar ditolak rakyat dalam PRU-15 akan datang,” kata Hassan lagi.
-wrlr
0 ulasan:
Catat Ulasan