KUALA LUMPUR – Aktivis dan pereka grafik kontroversi, Fahmi Reza dipanggil ke Bukit Aman petang ini untuk disoal siasat berhubung lukisan seekor beruk memakai tengkolok dan pakaian bangsawan berwarna kuning.
Fahmi mendakwa, beliau akan disiasat di bawah Akta Hasutan berikutan grafik yang dikongsinya di media sosial sejak 15 jam lalu.
“Aku dah terima panggilan telefon dari polis Bukit Aman. Tak sampai 15 jam polis dah buka kertas siasatan bawah #AktaHasutan dan #AktaSakitHati kerana grafik satira #beruk yang aku post malam tadi.
“Polis minta datang balai untuk disoal siasat petang ni juga. Kita jumpa kejap lagi PDRM!” katanya ringkas di media sosial.
Fahmi memuat naik lukisan beruk yang turut memakai darjah kebesaran dan keris itu di Facebook dan Twitternya.
Baju, tengkolok, keris, pingat dan warga kuning yang terdapat pada grafik tersebut kelihatan seperti pakaian yang selalu dipakai oleh sultan dan raja-raja Melayu.
Di Facebook, grafik tersebut mendapat 888 perkongsian dan 3,200 komen daripada warganet.
Rata-rata warganet tidak setuju dengan tindakan Fahmi berkongsi lukisan berkenaan yang disifatkan biadab terhadap institusi diraja.
“As a citizen, institusi diraja kena hormat bro, walaupun I keturunan Cina tetapi I suka sangat tengok ibadat diraja, budaya diraja, pakaian diraja dan lain-lain. Ini adalah sejarah dan tradisi negara kita yang unik dan tidak dapat ditemui di negara lain,” kata 王偉.
Fahmi berkongsi grafik tersebut tidak lama selepas tular Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membeli karya seni lukisan beruk dan katak sedang bersidang dalam Dewan Rakyat.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Selangor Royal Office, Sultan Selangor menzahirkan rasa berkenan baginda untuk membeli karya itu dan menggantungnya di bilik kerja peribadi baginda. – MalaysiaGazette
0 ulasan:
Catat Ulasan