Selasa, 26 April 2022

Ahli Politik Mana Yang Didakwa Lindungi Kartel Ayam Ni?

 

PETALING JAYA: Campur tangan politik sejak sekian lama dalam isu membabitkan dominasi kartel terhadap indus­tri penternakan ayam di seluruh negara menyebabkan pihak terbabit terus bermaharajalela.

Malah Utusan Malaysia difahamkan, kegagalan menubuhkan lembaga khas bagi mengawal industri ternakan ayam juga dikaitkan dengan campur tangan ahli politik.

Tanpa mendedahkan nama, sumber mem­be­ritahu, sepatut­nya selepas pendedahan demi pen­de­dahan terhadap isu kartel ayam, Malaysia sepatutnya sudah menubuh­kan lembaga khas bagi me­ngawal industri dan men­stabilkan harga di pasaran.

“Sudah berpuluh tahun, kerajaan masih gagal tubuhkan sebarang lembaga untuk kawal industri ayam, sebab banyak juga isu politik dalam perkara ber­kaitan,” katanya di sini, semalam.

Semalam Utusan Malaysia mendedahkan bahawa kartel turut menguasai pasaran harian berjumlah 1.5 juta ekor ayam, iaitu 70 peratus daripada ke­se­luruhan 2.2 juta ekor ternakan itu yang dijual di seluruh negara setiap hari.

Sementara itu, pemilik ladang kontrak atau integrator menafikan mengaut keuntungan berlebihan daripada penternak ayam di bawahnya. Sebaliknya mereka juga berhadapan dengan kerugian disebabkan kos makanan iaitu dedak dan anak ayam.

Pemilik salah sebuah ladang terbesar di negeri ini yang enggan namanya disiarkan berkata, penternak tidak memikirkan soal kenaikan harga dedak atau anak ayam tetapi integrator yang bertanggungjawab dalam hal itu.

Sejak 7 April lalu, akhbar ini melaporkan kewujudan lima kartel yang berselindung di sebalik sebuah persatuan penternak yang mengawal hampir keseluruhan rantaian industri ayam negara sejak puluhan tahun lalu yang bernilai RM10 bilion setahun.

Malah, semalam akhbar ini mendedahkan bahawa kartel turut menguasai pasaran harian berjumlah 1.5 juta ekor ayam, iaitu 70 peratus daripada keseluruhan 2.2 juta ekor haiwan itu yang dijual di seluruh negara pada setiap hari.

Utusan Malaysia juga difahamkan kartel bukan sahaja mengawal harga dan bekalan anak ayam kepada penternak, malah turut menguasai pasaran ayam ke seluruh negara setiap hari.

“Harga anak ayam pembakaan tak dikawal kerajaan, kerana yang mengawalnya ialah sebuah persatuan penternakan. Kenapa jabatan tak boleh kawal harga? Sebab dari segi akta, kerajaan tiada kuasa.

“Maknanya, secara automatik (kawalan) tertakluk di bawah persatuan. Malah harga ayam di ladang itu pun tak dikawal sebenarnya,” kata sumber.

Mengulas lanjut, sumber berkata, terdapat empat kartel yang menentukan segala sektor bekalan dan pasaran ayam ke seluruh negara serta mendesak lebih banyak pendedahan dibuat demi melindungi kepentingan rakyat.

“Untuk menentukan harga anak serta bekalan anak ayam kepada penternak, malah harga serta bekalan ayam matang ke pasaran, empat kartel itulah yang kawal,” katanya.

Mengulas isu sama, pemilik ladang berkata, selain sebagai pengilang dan pemborong, pihaknya juga mempunyai 65 ladang kontrak di sekitar Johor Bahru dengan kos permulaan bagi setiap ladang dianggarkan RM1 juta.

“Kos itu berdasarkan kepada harga anak ayam seekor RM2.50 dan dedak yang kini berharga RM270 setiap beg dengan anggaran 70 beg diperlukan untuk ternakan melibatkan 7,000 ekor ayam.

“Untuk pembelian anak ayam sebanyak 100,000 ekor, integrator seperti saya akan membelanjakan sebanyak RM250,000 dan makanan (dedak) pula sebanyak RM889,000,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau menambah, dakwaan pemilik ladang kontrak sebagai kartel adalah cukup berat seolah-olah mereka tidak langsung memikirkan soal pengguna atau rakyat yang memerlukan makanan segar tersebut setiap hari.

“Mereka (penternak) tidak memikirkan soal kerugian kami apabila anak ayam mati dengan anggaran 10 peratus daripada 100,000 ekor yang bersamaan RM25,000. Begitu juga apabila ayam mati pada usia 20 hari. Malah, sebelum ini anak ayam diperoleh pada harga RM1.20 atau RM1 seekor dan pernah 90 sen, jauh beza dengan harga kini,” jelasnya.

Malah katanya, bagi membantu penternak memulakan usaha mereka, pihaknya turut mengeluarkan jutaan ringgit sebagai kos permulaan, namun mereka terus diberi tekanan oleh kerajaan apabila harga siling ayam ditetapkan RM8.90 sekilogram lebih rendah daripada harga di Thailand dan Indonesia sekitar RM11 hingga RM12 sekilogram.

“Jika ingin membantu rakyat, kerajaan perlu memper­kenalkan baucar khas bagi mereka yang dikategorikan sebagai golongan B40 dan miskin,” katanya. – UTUSAN

0 ulasan:

Catat Ulasan