Dulu keluargaku hidup susah. Serba serbi dalam kekurangan. Kadang-kadang makan pun bercatu. Lauk telur goreng biasanya dipotong dua, kongsi makan dengan adik beradik yang ada.
Aku adalah anak sulong dari 6 adik beradik. Sebagai anak sulong, Aku menyaksikan segala keperitan dan kepayahan mak dan ayah Aku membanting tulang dalam membesarkan Aku dan adik-beradik.
Arwah bapaku adalah seorang bekas askar tidak berpencen. Mak Aku pula adalah seorang surirumah sepenuh masa.
Selepas berhenti dari askar, arwah bapaku mencari rezeki dengan menanam sayur. Ibuku pula membantu dengan mengambil upah jahit baju dan menoreh getah.
Masih Aku ingat, masa sekolah dulu Aku jarang makan kat kantin sekolah sebab duit sekolah Aku cukup2 beli kuih dan tambang bas saja.
Kalau teringin nak beli nasi lemak atau mee kari kat kantin tu memang kena kumpul 2 hari duit sekolah baru cukup. Selalunya Aku bawa bekal saja dari rumah.
Selepas SPM tahun 1996, Aku bekerja sebagai operator kilang di Machap Johor. Itulah pengalaman pertama Aku bekerja untuk mencari duit sendiri.
Gaji basic Aku masa tu RM300 sebulan, campur dengan OT dapatlah dalam RM400 camtu. Kerjanya agak penat, hampir 13 jam sehari dan setiap masa kena berdiri.😥
Lepas result SPM keluar, Aku mendapat peluang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) kampus di jalan Gurney, dalam bidang Diploma Kejuruteraan Elektrik & Elektronik.
Jalan Gurney sekarang sudah ditukar nama ke jalan Semarak. Banyak juga kena guna duit masa mula-mula nak daftar masuk ke UTMKL dulu.
Kalau tak silap Aku dalam seribu lebih jugak untuk bayar yuran dan asrama penginapan. Kalau nak harap duit gaji kerja kilang saja memang tak cukup.
Masa tu lah Aku rasa sangat sebak dan bersalah bilamana melihat mak Aku terpaksa korek tabung simpanan duit upah menjahit dia semata-mata nak tengok Aku masuk U.
Sampai sekarang Aku masih ingat lagi masa mula nak lapor diri di UTMKL. Betapa gembiranya wajah mak tengok Aku nak masuk U.
Aku bertolak dengan van Ford lama tanpa aircond dari Johor bersama ahli keluarga termasuk datuk dan nenek sekali.
Sebenarnya memang itulah impian mak Aku. Dia ingin buktikan yang anaknya juga boleh berjaya sama seperti anak orang lain.
Mengenangkan keluarga Aku yang susah, Aku cuba jimat sehabis yang boleh masa semester pertama tu.
Sepanjang 3 bulan pertama di Universiti, hampir setiap hari Aku makan maggi sebagai makan malam. Natijahnya, suatu hari Aku telah diserang migrain dan sakit kepala yang teruk ketika kuliah.
Aku stop makan maggi selepas kejadian itu dan mula mengambil nasi dan telur mata sebagai menu makan malam.
Masa cuti sem tahun ke-2, Aku mula buat kerja part time sebagai "security guard".
Gigih kumpul duit sebab taknak susahkan keluarga dikampong. Nasib baik la dapat duit biasiswa JPA masa tu. Bolehlah survive sikit-sikit...
Lepas habis Diploma, Aku dapat kerja sebagai "technician" kat kilang Sharp di Sri Gading Batu Pahat Johor.
Kerjanya ialah repair "viewcam". Aku masuk kerja masa tu dengan gaji basic RM970 sebulan.Dekat setahun setengah jugaklah Aku kerja kat kilang Sharp ni.
Satu hari tu Aku terbaca iklan jawatan kosong bagi pengambilan Inspektor untuk tahun 2001. Gaji basic Inspektor masa ni ialah RM1106 bagi lulusan Diploma Kejuruteraan.
Tanpa berlengah Aku pun trylah mohon, manalah tahu ada rezeki Aku jadi pegawai polis macam Inspektor Mazlan lakonan AC Mizal dalam "Gerak Khas".
Alhamdulillah, rezeki tak pernah salah alamat...Aku berjaya dalam temuduga pengambilan Inspektor Polis tersebut.
Aku tak sangka Ya Allah. Aku terpilih diantara beribu yang layak ke peringkat akhir dalam temuduga itu.
Daripada 26 ribu permohonan, Aku antara 114 orang yang terpilih untuk menjadi seorang pegawai polis. Aku bersyukur kerana cita-cita dan impian Aku tercapai akhirnya.
Selepas tamat latihan asas kepolisan yang berjalan selama setahun, sekali lagi tuah memihak kepadaku.
Aku berjaya melepasi saringan ketat ujian pemilihan bagi pengambilan juruterbang baru pdrm. Syukur tak terkata kerana telah terpilih untuk menjadi seorang juruterbang polis diraja malaysia.
Aku menjalani Kursus Asas Penerbangan (PPL) di Ipoh Perak dan kemudiannya (ATPL) di MFA Melaka pada tahun 2005. Akhirnya, Aku berjaya mendapatkan lesen penuh penerbangan pada tahun 2007.
Pelbagai cabaran, rintangan dan dugaan yang telah berjaya Aku harungi sebelum berjaya bergelar sebagai juruterbang. Aku telah berkhidmat selama 18 tahun dalam pasukan PDRM dengan pangkat terakhir sebagai Superintendent Polis.
Aku bersyukur kerana telah diberikan peluang berjuang mencurahkan bakti demi keamanan dan kesejahteraan rakyat M'sia.
Kini Aku telah mengorak langkah ke kerjaya baru yang diidam-idamkan oleh ramai juruterbang didunia. Hasrat Aku untuk membawa pesawat yang lebih besar juga akhirnya telah dimakbulkan Allah.
Bagi Aku, tidak lengkap kiranya kerjaya Aku sebagai juruterbang ini jika tidak dapat merasa membawa pesawat besar seperti Boeing ataupun Airbus.
Kawan...
Sememangnya hidup ini keras, hanya yang kuat dan tidak mudah mengalah sahaja akan menang dalam perlumbaan mengejar kejayaan.
Untuk orang muda dan adik-adik diluar sana, tiada formula yang mudah untuk berjaya. Bukan senang nak senang TAPI amat senang untuk susah jika kita mudah menyerah kalah.
Kejayaan tidak akan datang tanpa usaha, tidak akan datang tanpa doa dan tidak akan datang tanpa Tawakal.
Bermulalah dari bawah, cari ilmu dan pengalaman supaya kita kuat untuk menghadapi dugaan dan cabaran. Fokuslah dalam mencari ilmu untuk membina asas masa depan kita.
Kawan...
Kalau kita miskin dan tidak punya apa-apa, serius orang takkan pandang maupun hormat pada kita. Malah akan ada yang menghina kerana kau adalah golongan B40 yang tidak punya apa-apa.
Dikesempatan ini Aku cuma nak pesan, jika kau sedang belajar, maka belajarlah bersungguh-sungguh, jika kau sedang bekerja atau sedang berniaga, buatlah betul-betul.
Cuba bina asas yg kukuh dan cari kekuatan untuk berdiri di atas kaki sendiri. Kerana apabila kita kuat, kita akan mampu untuk memberi tanpa mengharapkan ehsan dan simpati orang lain.
Kepada mereka yang mungkin sedang down, please wake up!!!. Bangkit dari kejatuhan. Bangkit kembali dengan lebih kuat. Anda mampu jadi jauh lebih baik dari apa yang anda fikirkan.
Hanya diri kita sendiri yang boleh menolong kita dan menentukan sejauh mana kita boleh melangkah pergi. Aku percaya kita semua boleh!!! Yakin Boleh!!!
Percayalah pada Qada dan Qadar. Rezeki itu datang dari Allah SWT. Dia yang pegang kunci pintu rezeki untuk semua Hamba-Nya.
Sabar adalah kunci kepada kejayaan setiap insan bernama manusia.
Diharapkan coretan Aku ni dapat memberikan inspirasi dan motivasi kepada semua pembaca khususnya golongan B40 yang sudi baca dan follow penulisan Aku hingga akhir...
Sekian, Terima Kasih🤗
Sumber: Fb Mohd Ezairol Rezan Zainol
0 ulasan:
Catat Ulasan