Umno hari ini memutuskan memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai antara kerajaan dan PH yang akan berakhir 31 Julai ini untuk tidak diteruskan.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi yang dipengerusikan presiden, Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
"Kedudukan MOU di antara kerajaan persekutuan dan PH yang berakhir 31 Julal 2022 diputuskan tidak akan diteruskan lagi," kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dalam kenyataan selepas mesyuarat itu hari ini.
Selain itu, Ahmad berkata mesyuarat turut memutuskan agar satu perhimpunan agung khas diadakan pada 14 Mei ini bagi meminda Perlembagaan Umno mengenai tempoh pemilihan parti.
Mesyuarat hari ini turut menggesa pembentangan akta antilompat parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa kompromi dengan "gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan mahupun cubaan untuk mengubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain."
"Umno berpendirian bahawa Akta Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati," katanya lagi.
MOU itu ditandatangani bagi mengembalikan kestabilan politik setelah perubahan kerajaan pada Ogos tahun lalu.
Secara asasnya, dengan pemeteraian itu, PH tidak akan menghalang kerajaan dalam undi kritikal di Dewan Rakyat yang boleh membawa kesan terhadap survivalnya, seperti belanjawan.
Sebagai pertukaran, kerajaan akan mengusahakan sejumlah pembaharuan dan dasar yang sebelum ini dibawa PH.
Antara yang terkandung adalah penggubalan undang-undang bagi antilompat parti yang semakin diperkatakan, terutama setelah Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang mengakibatkan runtuhnya kerajaan PH.
Pada 11 April kerajaan membentangkan rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan untuk memperkenalkan klausa yang akan membolehkan penguatkuasaan undang-undang bagi menangani wakil rakyat yang melompat parti.
Seterusnya Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen akan memperhalusi perkara itu sebelum satu lagi sidang khas Dewan Rakyat diadakan.
Dengan tarikh tamat MOU semakin hampir, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebelum ini berkata PH boleh meneruskan kerjasama itu melalui MoU kedua sehingga penggal parlimen tamat pada 2023.
Loke berkata dengan sokongan PH, Ismail Sabri boleh mengabaikan tekanan daripada kem Zahid untuk pilihan raya mengejut sdan meminta Parlimen menamat penggalnya sehingga 2023.
Namun Zahid menolak cadangan itu dengan mendakwa ia hanya untuk memberi PH lebih masa untuk menyusun serta membaiki semula kelemahan.
-malaysiakini
0 ulasan:
Catat Ulasan