PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mempertahankan Pesuruhjaya Kanak-kanaknya, Noor Aziah Mohd Awal terhadap dakwaan dalam artikel Utusan Malaysia berhubung kes penderaan membabitkan remaja kurang upaya di sebuah rumah kebajikan.
Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam (OCC) berkata, ia terkilan dengan artikel yang disiarkan pada 15 April itu yang disifatkannya fitnah.
“OCC berpandangan penulis telah menulis dengan niat memfitnah pesuruhjaya kanak-kanak dalam menjalankan tugas dan fungsinya sebagai pesuruhjaya,” katanya merujuk kes mahkamah membabitkan remaja perempuan sindrom Down itu.
Menurutnya, Aziah telah mengarahkan OCC mengambil tindakan segera, sebaik saja mendapat makluman mengenai kes penderaan Bella pada tahun lalu.
“Berdasarkan peruntukan Seksyen 4 Akta Suhakam 1999 (Akta 597), pesuruhjaya kanak-kanak itu telah melaksanakan tugas beliau sebaik mungkin dan menasihatkan kerajaan (agensi yang terlibat seperti polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat) untuk melaksanakan tugas mereka dan memastikan hak dan kebajikan kanak-kanak terjaga dan terpelihara.”
Katanya, berdasarkan Seksyen 12 Akta 597, sebaik sahaja pertuduhan dibuat, OCC tidak boleh campur tangan dan mengganggu kes itu.
“Sebagai institusi hak asasi manusia di Malaysia, OCC menghormati
keluhuran undang-undang dan institusi mahkamah. OCC percaya hakim yang bijaksana dan berwibawa akan mendengar hujah pendakwa raya dan peguambela dan keadilan akan dicapai.”
OCC berkata, ia mengambil serius kes Bella dan melakukan sebaik mungkin berdasarkan keadaan dan berharap penulis tidak membuat dakwaan palsu, sebaliknya mendidik masyarakat menghormati proses mahkamah.
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, sedang dibicarakan atas dakwaan mengabai dan menganiaya Bella yang berusia 13 tahun.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-FMT
0 ulasan:
Catat Ulasan