Baru-baru ini tersebar video bahawa bekas PM Najib Razak mengambil wuduk dengan mencelup tangan ke dalam gayung. Tidak sedikit yang menyindir Najib, kononnya cara itu salah.
Setelah saya melihat, saya dapati tindakan Najib yang berwuduk dengan cara mencelup tangannya ke dalam gayung air itu tidak ada apa yang perlu dianggap salah. Bahkan saya anggap tidak perlu menjadi isu.
Wuduk yang Najib lakukan itu mengikut mazhab selain Syafie. Bahkan, amat selaras dengan Mazhab Maliki.
Isu itu, dalam fikah Islam disebut sebagai air mustakmal. Air mustakmal, dalam istilah fikah bermaksud lebihan air wuduk atau mandi wajib yang kurang daripada kadar dua kolah.
Dalam Mazhab Syafie, air itu tidak boleh digunakan untuk berwuduk lagi. Jika berwuduk juga, maka wuduk dianggap tidak sah.
Hanya Mazhab Syafie menganggap begitu, sedangkan dalam mazhab selainnya tidak menjadi sebarang masalah pun.
Dengan ini difahami, tindakan Najib berwuduk itu dikira sah, jika dilihat dari sudut mazhab selain syafie.
Beragama dan sentimen
Di Malaysia bahkan di banyak tempat dalam dunia ini, beragama tidak berasaskan kepada rasional, hujah serta keterbukaan. Ramai sangat beragama secara sentimen.
Orang menjadikan wuduk Najib sebagai isu, kerana Najib musuh politik mereka. Apatah lagi, Najib terpalit dengan skandal 1MDB yang menjadi wacana rakyat Malaysia sejak PRU lepas.
Andai yang melakukan wuduk cara Najib itu adalah Mat sabu atau Anwar Ibrahim, saya tidak tolak kemungkinan ada orang Amanah atau orang PKR akan bangkit pertahankan tindakan tersebut.
Saya kira, cara beragama sebegini adalah sesuatu yang tidak sihat. Ia tidak membijakkan umat dalam beragama. Ia adalah projek membodohkan umat dalam beragama.
Cara umat beragama
Selagi mana seseorang itu manusia, pasti dia boleh melakukan kesilapan. Sesempurna mana pun manusia itu, pasti ada kelemahan dan kekurangannya. Sama ada disengajakan atau tidak, manusia tidak boleh elak dari melakukan kesilapan.
Dengan sebab itu, jika ada seseorang ulama mengeluarkan sesuatu pandangan, kita tidak wajar membutakan akal kita dalam melihat pandangan tersebut.
Jika ulama itu dari geng kita—andai ada kesalahan pada pandangannya, kita perlu kata itu salah. Jika ulama itu bukan dari geng kita—andai perbuatannya benar, kita perlu katakan bahawa itu benar.
Saya kadangkala pelik, orang pro-Salafi yang anti-Asyairah membuatkan dia tidak nampak sebarang kebaikan dan kebenaran hujah ulama Asyairah.
Demikian juga, orang yang pro-Asyairah, yang anti-Salafi, gagal nampak kebaikan dan kebenaran hujah pihak Salafi.
Kalau seseorang itu anti Ibn Taimiyyah; dia anggap apa sahaja yang datang dari Ibn Taimiyyah salah, tidak ada yang benar kecuali semuanya salah belaka.
Bagi orang yang pro-Ibn Taimiyyah pula; dia anggap semua yang datang dari Ibn Taimiyyah adalah benar sehinggakan tidak ada yang salah.
Cara beragama sebegini berasaskan kepada taasub, sedangkan taksub antara perkara yang tidak disukai oleh agama. Pada saya, cara beragama yang baik adalah hujah.
Jika sesuatu pendapat itu bertepatan dengan kehendak hujahnya, masuk akal dan tepat dengan kaedah pendalilan, maka pendapat itu perlu diterima.
Saya berpendapat, cara melihat agama dalam masyarakat kita di Malaysia (mungkin juga di dunia) perlu diubah. Kita perlu ajar umat beragama dengan melihat kepada kandungan yang diperkatakan, bukan siapa yang berkata.
Kita perlu melihat kebaikan sebagai kebaikan, walaupun ia datang kalangan yang bukan geng kita. Kita perlu melihat kejahatan sebagai kejahatan, walaupun ia datang dari kalangan geng kita sendiri.
WAN JI WAN HUSSIN ialah seorang pendakwah dan penulis.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
-malaysiakini
0 ulasan:
Catat Ulasan