Isnin, 7 Februari 2022

PRN Johor boleh diadakan ikut SOP kata Menteri Kesihatan

 

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata SOP PRN Johor telah dimuktamadkan oleh MKN dan SPR.

PETALING JAYA: Pilihan raya negeri (PRN) Johor boleh diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah dimuktamadkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia susulan jangkitan varian Omicron Covid-19 terbukti hanya menyebabkan gejala ringan.

Pendirian KKM adalah memandangkan Omicron, setakat ini tidak menunjukkan kesan teruk seperti (varian) Delta maka PRN boleh diteruskan,” katanya pada sidang media perkembangan situasi Covid-19 hari ini.

Khairy berkata, SOP PRN Johor akan diumumkan kelak dan SPR dijangka bermesyuarat berhubung pengumuman tarikh PRN Johor, Rabu ini.

Pada 22 Jan lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Dalam perkembangan lain, bagi mengawal penularan mendadak varian Omicron, Khairy turut menggalakkan majikan meneruskan dasar bekerja dari rumah atau melaksanakan sistem penggiliran bekerja.

Katanya, majikan disaran membantu pekerja bergejala membuat ujian swab dengan menyediakan kit ujian dan pelitup muka berkualiti tinggi.

“Kita juga rayu majikan dapatkan insentif untuk mengubah suai sistem pengudaraan di tempat kerja yang disediakan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Sementara itu, bagi tujuan pengesanan kontak rapat, orang ramai disarankan mengaktifkan “MySejahtera Trace” di aplikasi MySejahtera hanya ketika berada di tempat awam dan bukan untuk setiap masa.

Peringatan turut diberi kepada pemilik premis untuk meningkatkan kawalan kemasukan pelanggan dengan menyemak status risiko dan vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera pelanggan.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan