PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, mendedahkan yang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pernah bertemunya meminta supaya siasatan kes rasuah terhadap Presiden UMNO itu dihentikan.
Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) itu mendakwa, pertemuan itu berlaku ketika ada ura-ura bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, ketika itu Ahmad Zahid mahu siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya dihentikan.
"Ahmad Zahid datang ke rumah saya bersama dua tiga orang lagi dan dia cuba nak berbaik-baik dengan saya.
"Pada masa itu, ada kemungkinan saya menjadi Perdana Menteri, atas sebab itu dia ingin berbaik dengan saya," katanya pada sidang media selepas Pelancaran Aspirasi Johor, di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Dr Mahathir berkata, beliau mengetahui mengenai masalah jenayah yang dilakukan Ahmad Zahid, selain menyedari kemungkinan pemimpin UMNO berdepan hukuman penjara.
Katanya, selepas Ahmad Zahid bersama dengan parti yang membentuk kerajaan, beliau ada mendengar cubaan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu untuk tindakan mahkamah terhadapnya dihapuskan.
Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak mendedahkan bila sebenarnya tarikh dan lokasi pertemuan berkenaan.
Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan tidak berhasrat membuat sumpah laknat berhubung dakwaan Ahmad Zahid Hamidi, meminta bantuannya dalam kes mahkamah dihadapinya ketika ini.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, ia berikutan apa yang dikatakannya sebelum ini adalah benar dan beliau sendiri mempunyai bukti dan saksi.
Minggu lalu, Muhyiddin ketika berucap di Pentas PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh di Felda Tenggaroh 3, berkata Ahmad Zahid ada ke rumahnya ketika beliau berbincang dengan Presiden PAS, Tan Sri Abd Hadi Awang, dengan membawa satu beg berisi dokumen kes mahkamah.
Beliau dilaporkan berkata, dalam kejadian beberapa hari selepas beliau memegang jawatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid ada meminta tolong daripadanya kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.
-BH Online
0 ulasan:
Catat Ulasan