Selasa, 22 Februari 2022

Kerajaan Kedah 'kuat', tak mungkin ada PRN - ADUN Kuah

 Kerajaan Kedah 'kuat', tak mungkin ada PRN - ADUN Kuah

Mohd Firdaus Ahmad menegaskan, kerajaan Kedah 'kuat' dengan sokongan 15 ADUN Pas, enam ADUN Bersatu dan dua ADUN UMNO berbanding 13 wakil rakyat pembangkang.
ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Firdaus Ahmad menegaskan, tidak akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah sejurus tamat PRN Johor seperti didakwa sesetengah pihak.
Mohd Firdaus yang juga Exco Pelancongan, Seni, Budaya, Belia dan Sukan Kedah berkata, kedudukan ADUN-ADUN kerajaan dalam pentadbiran kerajaan adalah 'kuat' dengan sokongan 15 ADUN dari Pas, enam ADUN Bersatu dan dua ADUN UMNO berbanding hanya 13 wakil rakyat di pihak pembangkang.
Tambah beliau, sekiranya dua ADUN UMNO membuat keputusan untuk menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekalipun, kerajaan Kedah masih lagi kukuh dan stabil selain tidak sesekali akan membawa kepada pelaksanaan PRN Kedah dalam masa terdekat.
Pada ketika ini juga, Mohd Firdaus berkata, Bersatu yang diwakili enam wakil rakyat menganggotai Perikatan Nasional (PN) sementara ADUN Pas pula seramai 15 serta dua wakil dari UMNO
"Jadi (jika) UMNO tidak duduk dengan Bersatu atau PN, kalau dua orang (ADUN UMNO) ini (ambil keputusan) keluar (atau tarik sokongan terhadap kerajaan negeri), (pentadbiran) masih lagi kuat, (sebab itu) jika kata ada PRN tidak mungkin, sebab masih lagi kuat PN (yang dianggotai 15 ADUN PAS dan enam dari Bersatu," tegasnya.
Mengulas mengenai pendiriaannya terhadap situasi politik semasa yang berlaku, Mohd Firdaus berkata, tidak ada sebab untuk beliau 'melompat' memandangkan parti telah mengambil keputusan untuk memperkukuhkan kerjasama antara semua parti yang menganggotai PN itu sendiri.
"Untuk persoalan ada ADUN ini nak lompat, ADUN itu nak lompat, saya (pun dikatakan nak) lompat, (jawapan saya) lompat nak pergi mana? Macam saya sendiri masih lagi dalam Bersatu, kita ikut (pendirian) parti, parti duduk didalam PN, (jadi) kita gerak bersama PN sekarang ini", tambah Mohd Firdaus.
Dalam masa sama, beliau berkata, prestasi baik yang ditunjukkan kerajaan negeri Kedah pimpinan Muhammad Sanusi juga menjadi sebab utama mengapa kerajaan pimpinanan wajar dikekalkan.
Jelas beliau, pentadbiran Muhammad Sanusi bersama seluruh anggota Exco menjalankan tugas yang baik termasuk membawa masuk pelabur dengan jumlah pelaburan yang direkodkan negeri Kedah antara yang tertinggi di Malaysia.
“Ketika ini, pencapaian Kedah amat memberangsangkan… apa yang kita lakukan, Menteri Besar dan barisan Exco, boleh kita banggakan dan kita puji di mana semuanya bekerja di bawah satu bumbung dan bersepakat,
"Lagi satu kami semua (jenis) senang nak bincang, nak sembang dengan Menteri Besar atau sembang dengan Exco lain boleh sembang terus… tak payah ada hierarki dia, kalau ada hierarki payah juga nak buat kerja," kata Mohd Firdaus lagi.
Minggu lalu, beberapa pihak termasuk Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Masyri mencabar Muhammad Sanusi untuk mengumumkan penamatan kerjasama Muafakat Nasional (MN) di negeri itu dan segera membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Dalam masa sama, Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen turut mendakwa ada gerakan untuk menggugat kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan Muhammad Sanusi berdasarkan serangan yang dibuat ke atas pemimpin berkenaan.
Muhammad Sanusi sebelum itu menjelaskan, dakwaan bahawa DUN Kedah akan dibubarkan susulan penarikan sokongan daripada empat ADUN terhadap kepimpinannya merupakan khabar angin.
ADUN Barisan Nasional (BN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor ketika ditemui juga turut menafikan dakwaan bahawa dia bersama seorang lagi ADUN parti itu akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Kedah.
-AstroAwani

0 ulasan:

Catat Ulasan