Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kecewa kerana menyifatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menghina nama keluarganya.
Perasaan kecewa itu diluahkannya ketika mengulas kenyataan Muhyiddin yang dilihatnya mempersendakannya dengan panggilan ‘Zahid Komedi’ ketika Majlis Pelancaran Jentera PN Bahagian Mersing, di Felda Tenggaroh 3, Mersing pada 17 Februari lalu.
Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, mendakwa Zahid, dan Datuk Seri Najib Razak cuba meminta beliau untuk berbuat sesuatu berhubung kes mahkamah yang mereka hadapi.
Kata Presiden Bersatu itu, keengganan itu menyebabkan beliau hilang jawatan Perdana Menteri, selepas Zahid menarik balik sokongan menyebabkan tugasnya untuk mengawal penularan Covid-19 dalam negara terbantut.
Bagaimanapun, Zahid berpendapat kenyataan ‘Zahid Komedi’ itu seperti mempermain dan menghina nama keluarganya.
Pada masa sama Zahid berharap orang ramai tidak menyamakan tindakannya mendedahkan nama sebenar seorang pemimpin politik berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara beberapa tahun lalu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dipercayai merujuk kepada kenyataannya berhubung nama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang diungkitnya ketika berucap merasmikan majlis penutup mesyuarat UMNO bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 lalu.
Malaysiakini dalam laporan berkaitan majlis dihadiri Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Dalam Negeri ketika itu, menulis:
Naib presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengungkit sejarah Tun Dr Mahathir Mohamad yang berketurunan India dan mendakwa bekas perdana menteri itu mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun pentadbirannya.
Zahid, yang juga menteri dalam negeri, menunjukkan salinan kad pengenalan (IC) Mahathir, yang memaparkan namanya sebagai “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.
Sambil memegang telefon bimbit dan menunjukkannya kepada hadirin, Zahid berkata, “Ini IC biru dia dulu. Nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Nombor IC biru dia […] Ini yang dihantar oleh ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).”
“Betullah dia kata kita ni mudah lupa sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty,”
“Orang itulah yang memperjuangkan agenda Melayu untuk mempergunakan Melayu. Bila habis madu sepah dibuang. Umno ini sebagai madu dan kita adalah sepah yang dibuang,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup mesyuarat bahagian Umno Kelana Jaya hari ini.
A/l adalah singkatan kepada ‘anak lelaki kepada’ yang biasa digunapakai kaum India di negara ini, selain mereka yang berketurunan Orang Asal. Nama Kutty ialah satu nama dalam bahasa Tamil.
Nama Melayu menggunakan gelaran ‘bin’ atau ‘binti’, suatu istilah arab yang merujuk kepada anak lelaki atau perempuan kepada seseorang.
Bagaimanapun, dalam membuat kenyataan itu, Zahid mendakwa tidak membuat serangan peribadi dan menegaskan secara “kebetulan” beliau adalah menteri dalam negeri ketika menerima maklumat itu.
JPN berada di bawah bidang kuasa kementeriannya.
Namun, anak Dr Mahathir yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz tidak pula melenting, malah beberapa penganalisis politik melihat ucapan Zahid itu bertujuan menanam kebencian terhadap Dr Mahathir dengan mengungkit usul asal tok nenek seseorang.
Laman Facebook Mukhriz Mahathir FC kemudian menjelaskan asal usul Dr Mahathir di mana individu yang datang dari Kerala, India bukan bapa Dr Mahathir sebaliknya adalah datuknya yang bernama Iskandar.
Facebook itu juga menyatakan Kerala bukan bangsa asal India tetapi berketurunan Yaman. Iskandar kemudian berkahwin dengan seorang wanita dari Johor dan mereka mendapat seorang anak lelaki bernama Mohamad – bapa Dr Mahathir.
“Yang datang dari Kerala bukan ayahanda Tun M (Mahathir) tetapi nenda (atuk) Tun M bernama Iskandar. Kerala adalah bukan bangsa asal India, tetapi berketurunan Yaman. Iskandar berkahwin dengan Siti Hawa dari Johor maka lahirlah Mohamad pada 1881 di Pulau Pinang.
“Mohamad pula berkahwin dengan Wan Tempawan Bt Wan Hanafi maka lahirlah Tun M @Che Det. Che adalah kerana Wan berkahwin dengan rakyat kebanyakkan,” kata laman Facebook itu.
Namun, apabila Muhyiddin menyebut ‘Zahid Komedi’, Presiden UMNO yang berdepan puluhan tuduhan jenayah di mahkamah mengajak pula rakyat Malaysia supaya tidak bersikap sedemikian hanya kerana berbeda pendirian politik sehingga pupus nilai kemanusiaan dan kesopanan sesama manusia.
-Agenda Daily
0 ulasan:
Catat Ulasan