Ahad, 13 Februari 2022

“Kita Akan Menyamai JDT” – Kedah Bakal Miliki Stadium Baru Bernilai RM70 Juta Di Sungai Petani


 Stadium baharu yang akan dibina di Sungai Petani dengan anggaran kos RM70 juta diyakini mampu menjadikan Kedah Darul Aman FC [KDA FC] menjadi kelab yang sekelas dengan JDT.

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu sidang media selepas Majlis Sarapan Silaturahim Jentera Pilihan raya PN Parlimen Pulai pad hari ini.

Kedah Darul Aman
Gambar fail.

“Pasukan kita [KDA FC] menerima sentuhan-sentuhan baharu, kerjasama daripada Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang kita lantik telah membina jaringan yang baik,” kata beliau seperti mana yang dipetik daripada akhbar Sinar Harian.

Selain daripada stadium baharu tersebut, turut berada di dalam perancangan seperti mana didedahkan oleh Sanusi adalah sebuah pusat latihan yang dianggarkan bernilai RM20 juta.

Ini menjadikan keseluruhan pelaburan yang diperlukan untuk membina kedua-dua fasiliti tersebut kini adalah RM90 juta. Pembinaan fasiliti tersebut sekiranya menjadi kenyataan bermakna pasukan KDA FC akan berpusat di Sungai Petani dan bukan lagi di Alor Star seperti sebelum ini.

Namun tidak dapat dipastikan di manakah lokasi sebenar perancangan pembinaan fasilti tersebut bakal dilakukan.

Sumber: Propektus KDAFC 2022.

“Kita sedang sediakan satu kawasan di Sungai Petani untuk bina satu stadium baharu untuk pusat latihan dan kemudahan pasukan.

“Saya yakin usaha yang sedang kita lakukan ini suatu hari nanti, kita akan menyamai JDT, walaupun tidak dapat menewaskan lagi, seri (sama kedudukan) pun ok,” katanya lanjut.

Beliau berkata demikian selepas ditanya oleh wartawan mengenai perkembangan semasa pasukan KDA FC pada musim ini.

Kedah nyata tidak hanya bercakap omong kosong mengenai projek pembinaan fasiliti tersebut. Ini kerana ia juga berada di dalam senarai projek masa akan datang yang tersenarai di dalam propektus 2022 kelab yang boleh dimuat naik melalui laman sesawang rasmi kelab.

0 ulasan:

Catat Ulasan