Ahad, 13 Februari 2022

Covid19:Gelombang Omicron jejas industri pelancongan

 Pulau Langkawi. FOTO ARKIB NSTP

Pulau Langkawi. FOTO ARKIB NSTP

Kuala Lumpur: Ramai pelancong tempatan menangguhkan perjalanan ke luar negara susulan peningkatan varian Omicron yang menjadi gelombang penularan terbaharu.

Penangguhan itu bermula sejak dua minggu lalu selepas angka kes positif Covid-19 menunjukkan peningkatan dan sehingga kini melebihi 20,000 kes sehari.

Mengulas lanjut, Presiden Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (Saftta), Dr Fathir Badri berkata, banyak agensi pelacongan yang terpaksa menjadualkan semula penerbangan pelanggan yang membuat penangguhan perjalanan.

Menurutnya, penangguhan untuk tempoh tiga minggu sebelum penerbangan boleh dibuat pelanggan yang bimbang penularan Omicron yang semakin mengganas.

"Ada pelanggan yang melancong ke negara seperti Turki dan Jordan sudah menangguhkan perjalanan buat sementara waktu.

"Tidak kurang juga jemaah umrah yang menangguhkan ibadah itu walaupun kebenaran diberikan semula kerajaan untuk menunaikannya baru-baru ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, agensi pelancongan terpaksa mencari pelanggan gantian dengan mempercepatkan tarikh tempahan pelanggan lain ke destinasi sama.

Katanya, ia bagi mengelak kerugian khususnya membabitkan tiket penerbangan yang sudah ditempah awal.

"Kami akan cuba menggantikan tempat pelanggan yang menangguhkan perjalanan dengan mempercepatkan tarikh perjalanan pelanggan lain ke destinasi sama.

"Penjadualan semula ini agak rumit kerana ia membabitkan banyak pihak khususnya negara yang memerlukan permohonan visa lebih awal," katanya.

Menurutnya, gelombang Omicron ternyata memberi impak kepada sektor pelancongan yang baru beberapa bulan kembali bernafas.

Beliau berkata, pematuhan prosedur operasi standard yang ketat sentiasa dilaksanakan bagi meminimumkan risiko jangkitan dalam kalangan pelancong.

-myMetro

0 ulasan:

Catat Ulasan