Insiden dan drama seperti sudah kebiasaan akan mewarnai mana-mana perlawanan bola sepak. Ia seperti sudah ibarat ramuan yang ditambah kepada aksi hangat di atas padang.
Dan kebiasaannya insiden dan drama itu akan terus menjadi bualan mulut di kedai kopi walaupun perlawanan tersebut sudah pun berakhir.
Tidak terkecuali ialah perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) yang berlangsung pada awal pagi tadi. Apatah lagi jika ia melibatkan pemain berprofil tinggi seperti bintang Liverpool dan Mesir, Mohamed Salah. Dan sekali lagi ia melibatkan pengadil.
Salah mengamuk
Sebelum ini Salah mengejutkan ramai peminat dengan reaksi marahnya terhadap pengadil dalam perlawanan menentang Cameroon di peringkat suku akhir kejohanan tersebut.
Ramai yang berpendapat itulah kali pertama mereka melihat Salah benar-benar marah dan sepertinya bintang Mesir itu cukup tak puas hati dengan pengadil perlawanan.
Dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung dengan panas itu, pengadil perlawanan, Bakary Gassama melayangkan kad merah kepada jurulatih Mesir, Carlos Queiroz.
Salah sendiri turut terlibat dengan sesi perdebatan hangat dengan pengadil perlawanan, dengan beliau dilihat mengamuk mempersoalkan mutu pengadilan pengadil perlawanan tersebut.
Disuruh jadi pengadil
Insiden melibatkan Salah dengan pengadil nampaknya berterusan di perlawanan akhir menentang Senegal. Dalam perlawanan yang terikat tanpa jaringan walaupun selepas masa tambahan diberikan, Mesir tewas 4-2 kepada lawan mereka itu melalui penentuan sepakan penalti.
Salah turut kempunan mengambil sepakan penalti kerana Mesir sudah tewas sebelum giliran beliau untuk melakukan sepakan. Yang menarik, bukan hanya drama sepakan penalti yang mewarnai perlawanan ini.
Turut mencuri tumpuan adalah apabila Salah bertengkar dengan pengadil, Victor Gomes sehingga Salah disuruh oleh pengadil itu untuk mengadili sendiri perlawanan tersebut kerana sering tidak berpuas hati.
Insiden pada pertengahan babak pertama itu jelas kedengaran bagaimana pengadil itu berkata-kata kepada Salah.
“Apakah anda ingin mengadili perlawanan ini? Mahu? Tidak? Kalau begitu, pergilah,” kata Gomes sambil menghulurkan kad kuning dan wisel kepada Salah sebagai tanda menawarkan pemain itu tugas yang diamanahkan kepada dirinya.
Akibat kekalahan kepada Senegal, Salah kini terus kempunan untuk memenangi kejuaraan bersama skuad kebangsaan Mesir.
Sebelum kejohanan edisi tahun ini, Salah dan Mesir turut terlepas peluang bergelar juara pada 2017, apabila dikecewakan Cameroon 2-1 di perlawanan akhir.
Bagaimana pun Mesir masih lagi memegang rekod sebagai pasukan paling kerap menjuarai kejohanan tersebut.
Daripada 10 aksi di perlawanan akhir, tujuh daripadanya berakhir dengan kejuaraan.
-semuanyabola.com
0 ulasan:
Catat Ulasan