KUALA LUMPUR: PAS akan terus komited mempertahankan penyatuan ummah dan umat Islam di negara ini, kata Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, ini dibuktikan dengan kehadiran PAS pada Perhimpunan Agung Umno 2020 sebagai usaha berterusan memperkukuhkan penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN), sebagaimana disepakati sebelum ini.
“Ia demi keinginan melihat kesatuan Islam dalam negara,” katanya kepada Bernama selepas mendengar ucapan dasar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi di perhimpunan itu.
Hadir sama Presiden PAS, Abdul Hadi Awang serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).
Pagi tadi, Zahid dalam ucapan dasarnya berkata, Umno sebagai rakan kongsi politik akan terus jujur untuk menterjemah piagam dan perjanjian persefahaman yang dimeterai Umno dan PAS pada September 2019.
Katanya, permuafakatan itu terbukti mendapat sokongan padu seperti yang dilihat dalam tujuh pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), dan diyakini akan membuka ruang kepada BN untuk kembali menerajui negara.
Sementara itu, Presiden MIC, S A Vigneswaran berkata, PAS perlu membuat keputusan mengenai kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
“Umno tidak mahu bekerjasama dengan PN, justeru PAS perlu buat keputusan terlebih dahulu. Entah-entah mereka (PAS) tidak mahu bekerja dengan Umno,” katanya.
Mengenai BN bertanding secara solo pada PRU15, Vigneswaran menyifatkan ia keputusan tepat.
“Buat masa sekarang ini adalah hasrat Umno, kita akan bertanding atas tiket BN, yang dikatakan nak bekerjasama dengan sesiapa selepas pilhan raya itu, kita kena bincang.”
Sementara itu, Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata, untuk memenangi PRU15, BN perlu bekerja keras berdasarkan senario semasa politik negara.
“Cabaran yang bakal kita hadapi bukan sesuatu yang membolehkan kita berkata dengan yakin ‘kami boleh lakukannya’, kita perlu bekerja keras, selain mendapatkan sokongan semua bangsa kerana inilah yang perlu kita lakukan.”
Mengulas pendirian Umno untuk memutuskan kerjasama dengan PPBM, Wee berkata, perkara itu terpulang kepada Umno.
“Ini perhimpunan agung mereka dan mereka boleh bincang tentang apa sahaja. Jadi, biarlah mereka buat keputusan.”
-mindarakyat
0 ulasan:
Catat Ulasan