Jumaat, 26 Mac 2021

Undi18: Pemuda PPBM kesal, Kit Siang desak pengerusi SPR letak jawatan

 

Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Undi18 perlu dilaksanakan seperti dirancang manakala Lim Kit Siang menyifatkan keputusan SPR itu satu bentuk pencabulan mandat Parlimen.

PETALING JAYA: Pemuda PPBM menyatakan kekesalan terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunda pelaksanaan Undi18 dari Julai tahun ini sehingga selepas September tahun depan.

Ia kekal dengan pendirian bahawa pelaksanaan penurunan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun tetap perlu dilaksanakan seperti dirancang, kata Ketua Pemuda PPBM Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

“Bagaimanapun, Pemuda PPBM memahami SPR perlu meneliti kaedah paling sesuai untuk memastikan kemasukan pengundi baru yang berumur 18 hingga 21 tahun dibuat dengan baik supaya tidak timbul kekeliruan pada hari mengundi kelak,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, Pemuda PPBM bersedia menghulurkan kerjasama kepada semua agensi kerajaan yang terbabit demi mempercepatkan proses itu.

Terdahulu, Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pendaftaran automatik individu berusia 18 tahun sebagai pengundi dijangka ditangguhkan sehingga selepas September 2022.

Katanya, sekatan pergerakan akibat pandemik mengganggu persiapan SPR untuk melaksanakan dasar itu.

Dewan Rakyat pada 2019 sudah meluluskan rang undang-undang bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan had umur calon bertanding kepada 18 tahun.

Wan Fayhsal berkata, usaha bersepadu semua pihak perlu disertai dengan iltizam politik supaya pelaksanaan aspirasi Undi18 menjadi kenyataan.

“Satu pelan menyeluruh berkenaan rancangan pelaksanaan Undi18 juga perlu segera dibentangkan kepada khalayak untuk memastikan berlakunya proses semak dan imbang,” katanya.

Sementara itu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mendesak Abdul Ghani meletakkan jawatan sebagai pengerusi SPR untuk membuka ruang kepada seorang pengerusi baharu yang boleh memenuhi mandat Parlimen berhubung isu Undi18.

“Pengumuman oleh SPR semalam, yang mengatakan rakyat Malaysia yang berusia antara 18 sehingga 21 tahun, mungkin tidak akan dapat turut serta mengundi dalam pilihan raya umum akan datang adalah satu bentuk pencabulan mandat Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menyifatkan keputusan SPR untuk menunda pelaksanaan Undi18 kepada September tahun depan sebagai “satu perkara yang tidak boleh diterima sama sekali”.

-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan