Isnin, 15 Mac 2021

Apa Kata Anwar Tentang Pemimpin-pemimpin Ini?

 


Dalam temu bual eksklusif dengan Mingguan Malaysia minggu ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditanya mengenai pandangan beliau terhadap beberapa pemimpin negara.

Berikut adalah jawapan beliau.

TUN Dr. MAHATHIR MOHAMAD

Dia ada jasa kepada negara. Tetapi dia juga harus menerima bahawa adanya kerosakan yang dilakukan pada institusi negara. Saya selalunya selama ini…, dua minggu ini saja dia tak serang saya. Saya pun hairan sebab apa. Mungkin dia ambil vaksin kot? Dua minggu ini dia tak serang, kalau tak tiap-tiap minggu ada saja Anwar begitu, Anwar begini. Jadi saya tak perlu jawab. Sebab apa? Sebab kita nak tumpu kerja dan masa depan.

Datuk Seri ada perasaan marah atau dendam pada Tun?

Orang politik macam saya ini, kalau selalu marah memang tak boleh buat kerja. Kamu fikirlah, 22 tahun ini penuh derita tahu tak? Orang kutuk, jadi tak boleh nak marah. Macam orang Utusan pun saya tak marah, saya tak salahkan. Yang sudah itu sudah. Saya jumpa, saya minta maaf pun ada. Yang tak maafkan sampai mati pun ada. Saya syukur alhamdullillah. Saya happy, family happy. Tapi dia asyik maki, beri tafsiran. Orang tak bodoh. Ini setiap minggu beri tafsiran yang berbeza. Setiap minggu. Semua orang dalam dunia ini salah.

Jika Pejuang ingin bersama PH dalam PRU-15 nanti?

Kita ambil sikap terbuka. Ikut prinsip. Tidak beri syarat-syarat yang tidak munasabah. Kita terbuka.

Tetapi kalau Tun Dr. Mahathir letak syarat dia mahu jawatan PM?

Kalau ada sokongan. Tapi saya tak fikir ada.

Kenapa percaya pada Tun Dr. Mahathir sewaktu beliau mahu bentuk PH dulu? Tidakkah terfikir beliau mungkin kuda trojan yang nak rosakkan PH dari dalam?

Saya dalam penjara. Dan pada masa itu memang ada lompongan dan ruang vakum dalam pimpinan. Jadi tak semestinya saya setuju. Saya beri peringatan cukup keras, kalau semua setuju, saya ikut semangat jemaah. Tapi saya beri peringatan. Ada surat daripada saya kepada biro politik pada masa itu.

Biro politik mana, PH atau PKR?

Pada PKR, tapi dalam mahkamah dalam waktu singkat saya ada sebut pada Lim Kit Siang, pada Mat Sabu, okay (untuk terima Tun Dr. Mahathir), tapi harus waspada.

Waktu itu sudah beri peringatan?

Kita sokong tapi kena beringat jangan sampai kecundang kerana terlalu asyik dengan kedudukan, jangan sampai terhakis idealisme kita.

AZMIN ALI

Kecewa dengan Azmin Ali?

Saya ini tiada personal sangat, kalau tengok kenyataan yang mana dia serang saya berulang kali, saya tak jawab pun. Sebab saya nak fikir lebih baik kita tumpu kepada rakyat, sebab kita tak boleh perbodohkan rakyat. Orang boleh nilai. Jadi biar rakyat yang hukum, tapi bagi saya kembali kepada landasan. Namun saya akui kelemahan saya untuk mengawal, kerana masa itu saya masih dalam penjara.

Apa maksud Datuk Seri?

Masa penjara, orang di luar bina kekuatan, bina kekayaan dan SPRM masa PH itu tak nampak kerana mereka hanya tumpu kepada UMNO dan 1MDB. Jadi yang gajah depan mata itu semua ditolak. Tapi rakyat tahu menteri-menteri yang kumpul kekayaan melalui projek-projek besar, serta cara belanja yang mewah. Itu bertentangan dengan prinsip PKR dan PH. Jadi bagi saya, dia sudah pilih, biarkan. Kita tumpu perhatian kukuhkan parti, dan belajar daripada pengalaman kita. Jangan mudah percaya orang yang beri janji dan bermuka-muka.

RAFIZI RAMLI DAN NURUL IZZAH

Adakah Rafizi Ramli akan dibawa semula ke pentas politik menjelang PRU15 ini?

Orang muda yang idealisme, yang baik dan ada ketokohan. Dia juga tersinggung dan kecewa melihat gelagat beberapa orang pimpinan parti. Dia bukan nak bertanding sangat jawatan Timbalan Presiden itu. Tapi bila dilihat ada satu trend dan kecenderungan orang yang mengaut kekayaan dan menghakis prinsip. Kemudian dalam kerajaan dah kita bersusah payah berpuluh-puluh tahun dan menang, lantik yang ada, dan meminggirkan yang baik-baik dan gunakan gelagat yang lama, perkotak-katik orang, bagi orang gaduh, kenyataan-kenyataan yang menyinggung perasaan dan melukakan hati orang Melayu itu yang memberi kesan kepada orang ini. Bukan sahaja Rafizi, malah Nurul Izzah. Tetapi mereka ini kita cuba pujuk semula dan balik kepada perjuangan dan kembali pada landasan.

Nurul Izzah bagaimana? Nampak sudah merajuk?

Dia masih aktif, cuma dia lihat pimpinan masa itu. Kedua-duanya dalam parti dan dalam kerajaan. Dia bincang dengan saya panjang. Sebagai orang tua, orang lama dan sebagai ayah tentulah saya pujuk. Saya hormat orang macam Rafizi dan Nurul Izzah, idealisme mereka kuat, dan kedegilannya pun boleh tahan. Tetapi bukan melanggar hukum. Dia umpamanya hendak mengingatkan kita supaya kembali pada landasan. Tapi dia sekarang ini banyak bantu jentera pilihan raya.

NAJIB RAZAK

Najib semasa menjadi Perdana Menteri dianggap mempunyai kewibawaan melaksanakan beberapa program, tetapi dia harus berdepan dengan isu pertuduhan sekarang dan menjawab.

ZAHID HAMIDI

Zahid nampak lebih kepedulian terhadap masyarakat, sangat kuat. Tetapi dalam setiap pertuduhan itu dia kena jawablah di mahkamah.

MAT SABU

Mat Sabu ini, dia jurubicara rakyat yang berkesan.

LIM GUAN ENG

Antara yang berjaya selepas Lim Kit Siang yang memperkukuhkan DAP.

-Anak Sungai Derhaka

0 ulasan:

Catat Ulasan