Rabu, 10 Mac 2021

Mohd. Khay...Jutawan 'low profile' dari Kampung Baru!


LELAKI ini mempunyai lima orang cahayamata terdiri daripada 3 lelaki dan 2 perempuan. Beliau memastikan kesemua anak lelakinya menghafal Al-Quran dan mempelajari ilmu agama dengan mendalam.

Beliau melaksanakan amalan membaca Al-Quran dan terjemahan di syarikatnya pada setiap pagi, sejak berbelas tahun dahulu.

Lelaki ini juga telah mendirikan hotel setinggi 42 tingkat itu, TAMU, yang menelan kos pembinaan RM200 juta yang dilengkapi 276 bilik serta 129 servis suite di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru

Dialah lelaki bernama Mohd. Khay Ibrahim, jutawan low profile anak jati Kampung Baru, yang juga Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru yang bersejarah itu.

Siapakah Mohd. Khay ini?

Pengasas Zikay Group Berhad lulusan perakaunan dari UITM ini bersama adiknya, Iszhar memulakan perniagaan pada tahun 1994 sebagai kontraktor kecil landskap.

Dari situ mereka tidak berpaling lagi. Syarikat mereka kemudiannya menceburi bidang pembangunan hartanah, infrastruktur dan perkilangan.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga menceburi bidang pendidikan dan hospitaliti. 

Selain itu, mereka juga terlibat menyediakan platform teknologi berkonsepkan kewangan Islam dan patuh syariah, yang meliputi pembiayaan perusahaan PKS.

Mengenai hotel TAMU yang Mohd Khay dirikan itu, Bernama pernah melaporkan beliau pada mulanya hanya mahu membina sebuah bangunan bagi operasi syarikatnya di satu lot bekas tapak bangunan Wisma Dagang di Jalan Raja Alang. Bangunan yang siap dibina itu dinamakan Bangunan Zikay.

Bagaimanapun, beliau kemudian memutuskan untuk membeli sebidang tanah lagi yang terletak bersebelahan Bangunan Zikay untuk dimajukan selepas diyakinkan oleh seorang rakannya yang berkunjung ke pejabatnya.

“Rakan saya dari luar negara itu melihat pemandangan dari tingkat 9 Bangunan Zikay dan memberitahu saya mempunyai bangunan yang hebat terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur,” katanya.

Mendengarkan kata-kata rakannya itu membuatkan beliau terfikir untuk membina sebuah lagi bangunan dan kebetulan pula, terdapat sebidang tanah kosong di sebelah Bangunan Zikay.

Mohd Khay berjaya membeli tanah seluas kira-kira 0.8 hektar itu yang dimiliki 6 beradik. Dan, 8 tahun kemudian, beliau berjaya membangunkan Hotel Tamu & Suites.

Tanah di mana hotel berkenaan didirikan berstatus ‘Penempatan Pertanian Melayu’ yang setaraf Tanah Rizab Melayu.

Pembinaan hotel itu jelas membuktikan tanah pegangan Melayu boleh dibangunkan menjadi hartanah yang bernilai tinggi.

“Pada mulanya, ada yang kata saya tak waras. Siapa nak percaya orang Melayu boleh dirikan bangunan bukan 10 atau 20 tingkat tetapi 42 tingkat. Ada juga yang tak percaya projek saya ini boleh siap,” katanya yang berpengalaman 30 tahun dalam bidang pembangunan hartanah.

Beliau berkata apabila Hotel Tamu & Suites siap dibina, nilai hartanah di situ meningkat sebanyak 50%.

Mohd. Khay turut memilih untuk mewujudkan jenama hotel tersendiri daripada mengambil jenama hotel antarabangsa yang sudah popular kerana tidak mahu terikat dengan piawaian yang ditentukan pihak berkenaan.

“Kita tidak mahu ada benda-benda syubhah di sini (hotel). Secara tak langsung juga kita memberi pilihan pada mereka yang bekerja dalam industri perhotelan, untuk memilih tempat kerja yang mesra syariah,” katanya sambil menjelaskan usaha yang dibuatnya itu adalah fardhu kifayah yang perlu beliau laksanakan sebagai seorang Muslim.

Menyifatkan dirinya sebagai fundamentalis Muslim, beliau percaya hanya dengan kembali kepada ajaran Islam seseorang itu boleh berjaya.

“Jika kita lihat sejarah kegemilangan Islam ia adalah semasa di zaman Rasulullah, zaman sahabat dan zaman pemerintahan khalifah di mana mereka amat berpegang kepada ajaran agama. Jadi, kenapa kita (Muslim) sekarang mahu lari daripada Islam?” katanya yang dipetik Bernama.

SESUNGGUHNYA saya salute dengan lelaki bernama Mohd. Khay, adiknya dan seluruh pasukan Zikay Group ini.

Mereka adalah contoh yang Bumiputera juga boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dalam dunia korporat dengan mereka yang bukan Melayu tanpa perlu mengorbankan prinsip Islam yang kita sanjung.

Semoga Datuk Mohd. Khay dan syarikatnya terus istiqamah dalam perjuangan mereka dalam dunia korporat yang menjanjikan 1,001 cabaran yang menguji akal, minda dan kesabaran ini, Insya Allah.

0 ulasan:

Catat Ulasan