Khamis, 18 Mac 2021

Ahmad Maslan tanya mengapa Parlimen belum dibuka

 


Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan bertanyakan mengapa Parlimen masih belum boleh bersidang, sedangkan bazar Ramadan telah pun dibenarkan buka.

Menerusi satu siri ciapan di Twitternya, Ahmad Maslan berkata suara rakyat agar Parlimen dibuka kini semakin kuat didengar.

“Jika Bazar Ramadan akan dibuka, sekolah sudah, ekonomi juga, tentulah tidak salah bertanya kenapa Parlimen belum.

“Kini terletak di tangan Kabinet untuk memberi nasihat yang tepat kepada Yang di-Pertuan Agong,” tulisnya.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, beliau adalah antara wakil rakyat yang sejak awal lagi telah meminta agar Parlimen dibuka.

Ahmad juga katanya antara Ahli Parlimen yang kerap berbahas, bertanya dan memberi cadangan-cadangan kepada kerajaan.

“Ada 100 Ahli Parlimen umur lebih 60 tahun. Namun, ada 120 Ahli Parlimen umur kurang 60 tahun.

“Korum sidang untuk Dewan Rakyat hanya 26 Ahli Parlimen. Eloklah ianya dibuka,” katanya lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi sidang media pada 3 Mac lalu berkata, penangguhan persidangan Parlimen dilakukan antara lain kerana tidak mahu merisikokan ahli Parlimen yang rata-ratanya boleh dikategorikan sebagai kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Menurut Setiausaha Agung Pas itu, daripada 220 ahli Parlimen, 77 daripadanya berusia 61 hingga 69 tahun, 19 berusia 70 hingga 79 tahun dan empat lagi berusia 80 tahun ke atas.

-malaysiadateline

0 ulasan:

Catat Ulasan