Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai dalang yang didakwa menyebabkan ketidakstabilan politik di negara ini. - Gambar fail
SHAH ALAM: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai dalang yang didakwa menyebabkan ketidakstabilan politik di negara ini.
Ujar beliau, ia jauh berbeza berbanding sumbangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diberikan kepada rakyat ketika beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum ini.“Tan Sri Muhyiddin telah membuktikan ketokohan beliau apabila tampil memimpin negara menghadapi krisis kesihatan, krisis politik dan krisis ekonomi.
“Menguruskan tiga krisis serentak memerlukan kepimpinan yang berbeza. Kelompongan apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan diisi oleh Muhyiddin tepat pada masa negara memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai keperibadian dan keikhlasan seperti beliau.
“Dan kini Muhyiddin kekal istiqamah membina kembali negara dengan mencari solusi kepada cabaran-cabaran negara melalui Majlis Pemulihan Negara,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Isnin.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, perbezaan itu membuatkan Muhyiddin menjadi sasaran Ahmad Zahid dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Sudah pasti Muhyiddin menjadi sasaran mereka. Selagi Muhyiddin dianggap sebagai negarawan oleh rakyat, selagi itulah hidup dua manusia ini tidak tenteram.
“Sewaktu Muhyiddin bertungkus lumus membela nasib rakyat, Ahmad Zahid berpeluh di mahkamah. Bukan untuk negara, tapi sebab dituduh perlakuan jenayah seleweng duit.
“Selagi rakyat melihat Muhyiddin sebagai negarawan, selagi itulah Ahmad Zahid kekal sebagai bakal banduan,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Wan Saiful, Ahmad Zahid juga dalang di sebalik tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Ada sesiapa percaya bahawa Zahid tak akan rebut kuasa dari Ismail Sabri? Bodohlah sesiapa yang percaya Zahid betul-betul akan pertahan Ismail Sabri.
“Kamu (Ahmad Zahid) liabiliti kepada semua di keliling kamu kerana fokus kamu hanya mencipta ketidakstabilan. Lebih baik kamu bersara supaya kestabilan kembali kepada negara,” jelasnya.
-SH Online
0 ulasan:
Catat Ulasan