Jumaat, 8 Julai 2022

Ramai tak tahu, rupanya petisyen bantah filem Mat Kilau pernah digerakkan 4 tahun lepas!

 

Ramai yang tidak tahu, sebelum filem Mat Kilau menjadi antara filem epik yang mencipta fenomena, satu petisyen pernah digerakkan untuk membantah penggambaran filem berkenaan.

Petisyen berkenaan digerakkan pada 2018 oleh seorang pemuda, Mohd Shukri Mohd Ramli yang difahamkan adalah anak jati Pulau Tawar, Jerantut, Pahang.

Pemuda berkenaan mendakwa, Syamsul Yusof telah memalsukan sejarah apabila penggambaran filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, dijalankan di Perak dan bukannya di Pahang tempat kelahiran sebenar Mat Kilau.

Pulau Tawar merupakan tanah kelahiran Mat Kilau.

“Throwback balik. Sebelum box-office, siap ada petisyen buat bantahan!,” tulis pengguna akaun Suka Filem di Facebook.

Di bawah ini antara intipati bantahan tersebut yang sehingga kini boleh diakses melalui GoPetition;

“Petisyen ini adalah bantahan terhadap tindakan penerbit filem Mat Kilau yang memalsukan sejarah apabila membuat rakaman pengambaran di Kampung Telok Bakong, Bota Perak.

“Sedangkan Mat Kilau adalah pahlawan Pahang yang terpahat dalam lipatan sejarah dan berasal dari Kampung Kendondong, Pulau Tawar, Jerantut Pahang.

“Sejarah penentangan Mat Kilau terhadap British bukan berlaku di Perak tapi di Negeri Pahang. Atas apa jua alasan, segala adegan dan penggambaran wajarlah dilakukan di kampung asal kelahiran pahlawan Melayu Pahang itu,” kata pemuda yang melancarkan petisyen berkenaan.

Pemuda berkenaan juga menegaskan jika bukan Pulau Tawar dijadikan lokasi sesuai, banyak lagi tempat yang menarik di Pahang yang boleh digunakan untuk menjalankan penggambaran.

Memilih lokasi lain, seolah-olah sengaja mengundang persepsi negatif, katanya.

“Terasa hinanya kami apabila filem itu ditonton kepada umum nanti, bila kami tahu adegan penggambaran itu bukan di tempat asal yang tercatat dalam sejarah.

“Justeru, anak-anak Pahang di seluruh negara dan senatero dunia wajar membantah pemalsuan sejarah ini. Ia tidak layak untuk ditonton kerana jelas sekali bukan untuk mempertahankan nilai sejarah, tetapi lebih kepada mencari keuntungan semata-mata.

“Maka itu kami menyeru anak-anak Pahang menandatangani petisyen ini untuk membuktikan bantahan,” tulisnya.

Setakat semalam (Julai 7), filem Mat Kilau telah mengutip lebih RM54 juta dalam tempoh 13 hari tayangan di pawagam.

Syamsul menjangkakan filem berkenaan mampu mencecah sehingga RM60 juta biarpun ramai yang merasakan Mat Kilau boleh meraih sehingga RM80 juta.

-malaysiadateline

0 ulasan:

Catat Ulasan