Isnin, 18 Julai 2022

Tuntutan Sultan Sulu: Dewan Rakyat kecoh lebih setengah jam, Kota Belud diarah keluar

 Tuntutan Sultan Sulu: Dewan Rakyat kecoh lebih setengah jam, Kota Belud diarah keluar

Isnaraissah mempersoalkan apakah RUU tersebut lebih penting daripada kedaulatan negara, sedangkan usul sama yang dibawa oleh beliau ditolak Dewan Rakyat sebanyak tiga kali. - Sumber foto JAPEN
KUALA LUMPUR: Isu aset Petronas yang dirampas, dan tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah yang menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat menyaksikan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah diarah keluar dan tidak dibenarkan menyertai persidangan selama dua hari.
Ia selepas Isnaraissah tidak berpuas hati kerana Dewan Rakyat memberi ruang kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk membentangkan pindaan Rang Undang-Undang Perhutanan Negara 1994 bagi bacaan kali kedua.
Isnaraissah mempersoalkan apakah RUU tersebut lebih penting daripada kedaulatan negara sedangkan usul sama melibatkan kedaulatan negara yang dibawa oleh beliau ditolak Dewan Rakyat sebanyak tiga kali.
Sebaik Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengarah Isnaraissah meninggalkan Dewan Rakyat, situasi tegang berlanjutan lebih setengah jam, dengan kebanyakan Ahli Parlimen di blok pembangkang bangkit menyuarakan bantahan.
Ahli Parlimen Sepanggar (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman antara yang mendesak agar Dewan Rakyat menarik semula keputusan berkenaan.
"... Ini soal kedaulatan negara, kalau minyak Sabah kamu mahu, tarik balik," jeritnya di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli tidak mengendahkan bantahan tersebut, sebaliknya terus membaca pindaan RUU Perhutanan Negara 1994.
Dewan Rakyat terus panas, Kota Belud minta tarikh baru bahas isu Sulu
Dalam masa yang sama, Isnaraissah tidak henti-henti mendesak agar Dewan Rakyat memutuskan satu tarikh bagi membahaskan usul yang dibawanya, sebelum Takiyuddin kedengaran berkata kepada Ahli Parlimen di blok pembangkang: "Diam kamu... sila duduk."
Mohd Rashid pula menambah mana-mana usul yang ditolak, Ahli Parlimen boleh mengemukakan rayuan kepada Speaker.
"... Mahu rayu apa? Kali ketiga ditolak, mahu rayu apa?," soal Isnaraissah.
" Sekarang ini aset Petronas kena rampas, kamu mahu tunggu apa, sampai Sabah hilang dari Malaysia, apa baru kamu mahu bertindak?," tambahnya lagi.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menolak usul tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah.
-AstroAwani

0 ulasan:

Catat Ulasan