KUALA LUMPUR: Malaysia hanya selangkah untuk bergelar juara apabila mengesahkan tempat ke final Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) AFF 2022 selepas 'mengajar' Vietnam 3-0 di Stadium Patriot Chandrabhaga, sebentar tadi.
Ini adalah final keempat berturut-turut buat Harimau Muda sejak edisi 2017 namun mereka hanya berjaya menjulang kejuaraan pada edisi 2018 yang ketika itu turut berlangsung di Indonesia.
Pada aksi terbabit, Malaysia mengimbangi kekuatan Vietnam pada babak pertama apabila bertahan dengan mantap untuk menutup lawan daripada menghadirkan ancaman ke arah gawang gol Malaysia.
Serangan Vietnam yang beberapa kali mudah dipatahkan Malaysia 'menyesakkan' lawan sehingga memaksa mereka melakukan percubaan jarak jauh namun tidak memadai untuk menguji pintu gol negara.
Sebaliknya, Vietnam yang terkejut apabila Malaysia 'menggoncangkan' gawang mereka menerusi percubaan lencong Adam Farhan Mohd Faizal yang menewaskan Cao Van Binh pada minit ke-25.
Bersambung babak kedua, penguasaan bola yang dimiliki Vietnam tidak mendatangkan sebarang masalah buat Malaysia yang terus kental menafikan ancaman yang cuba diberikan pasukan lawan.
Gawang Malaysia cemas pada minit ke-54 apabila tandukan Nguyen Anh Tu terkena tiang disusuli satu lagi percubaan pada minit ke-57 daripada Vietnam namun ditutup dengan kemas oleh pertahanan negara.
'Keseronokan' Vietnam menyerang dihukum gandingan dua 'Haqimi' menerusi serangan balas pantas apabila hantaran Haqimi Azim Rosli ditampan Haiqal Haqeemi Hairi untuk menewaskan Van Binh buat kali kedua pada minit ke-70.
Pemain gantian, Haykal Danish Mohd Haizon terus menambah derita Vietnam dengan gol ketiga Malaysia selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Vietnam yang tergelincir pada minit ke-87.
Menanti anak buah Hassan Sazali Waras di final nanti adalah sama ada juara lima kali, Thailand ataupun Laos yang akan membuat perhitungan di venue sama, jam 9 malam ini.
Aksi penentuan tempat ketiga akan berlangsung pada sebelah petang sementara final pada sebelah malam di Stadium Patriot Chandrabhaga, Jumaat ini.
-BH Online
0 ulasan:
Catat Ulasan