Isnin, 18 Julai 2022

Isu Mat Kilau:P. Ramasamy harus sedar diri – UMMAH

 

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) kekal dengan pendirian yang mencabar pemimpin kanan Parti Tindakan Demokratik (DAP), P. Ramasamy untuk bersemuka dalam debat terbuka, dan bersedia menawarkan pentas pertemuan bagi membuktikan fakta dakwaannya bahawa Mat Kilau bukan pahlawan Melayu.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, setelah meneliti kenyataan P. Ramasamy bertarikh 12 Julai 2022 di Malaysia Gazette yang bertajuk, Mat Kilau pemimpin petani bukan nasionalis menggambarkan bahawa ulasan ahli DAP itu sebagai hanya bersifat sangkaan semata-mata dan bias tanpa merujuk kepada mana-mana fakta sejarah secara ilmiah. 

Menurut beliau, pandangan pemimpin kanan DAP itu berkemungkinan kerana didorong dan dipengaruhi oleh ideologi politiknya (DAP), dan adalah akibat berkemungkinan beliau belajar melalui sistem pendidikan vernakular yang tidak mempelajari sejarah Tanah Melayu dan gagal memahami sejarah sebenar mengenai perjuangan pahlawan melayu mempertahankan tanahair.

“P. Ramasamy seharusnya sedar diri kerana (mengikut sejarah) beliau juga adalah daripada keturunan yang berasal daripada kaum pendatang (India) yang dibawa oleh Inggeris ke Tanah Melayu sebagai pekerja penoreh getah di ladang-ladang yang dikuasai penjajah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media kepada HarakahDaily

Mengulas lanjut, Mohd Zai berkata, menurut artikel yang ditulis oleh Kernial Singh Sandhu, pada 1958 dalam jurnal yang berjudul, Indian migration and population change in Malaya menyatakan bahawa orang India yang datang ke Tanah Melayu adalah daripada golongan yang tertindas kerana kasta iaitu Pariah, berdasarkan sikap mereka yang senang mengikut arahan.

“Mereka diperlakukan seperti binatang tanpa maruah di India. Oleh sebab itu, mereka senang untuk migrasi (termasuk bagi mencari pekerjaan. (Sila rujuk https://iluminasi.com/bm/sejarah-kedatangan-orang-india-ke-malaya-semasa-zaman-british.html.),” jelasnya.

Tambahnya,  sedangkan sejarah Mat Kilau sebagai pejuang dan pahlawan melayu yang mempertahankan agama, bangsa dan tanahair telah ditulis dalam pelbagai bentuk jurnal dan buku ilmiah. Diantaranya boleh dirujuk jurnal dan buku yang ditulis oleh seorang pensyarah kanan UPSI iaitu Prof Madya Dr Talib Samat. (rujuk https://kheru2006.livejournal.com/1591378.html.)

“Persoalannya siapakah ketua petani ? Mat Kilau atau keturunan P. Ramasamy? Hanya fakta sejarah sahaja yang telah menentukan.Telah tertulis dengan tinta emas bahawa sejarah telah membuktikan bahawa Mat Kilau adalah pejuang bangsanya, agamanya dan tanah airnya,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 18/7/2022

0 ulasan:

Catat Ulasan