Isnin, 28 September 2020

PRN Sabah:GRS pilih Hajiji Ketua Menteri Sabah Yang Baru

 SIDANG media Gabungan Rakyat Sabah selepas membuat keputusan sebulat suara menamakan Datuk Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah. NSTP/AZRUL AFFANDI SOBRY

SIDANG media Gabungan Rakyat Sabah selepas membuat keputusan sebulat suara menamakan Datuk Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah. NSTP/AZRUL AFFANDI SOBRY

KOTA KINABALU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor menerima sokongan sebulat suara untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu, esok.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Sabah, pada sidang media selepas perjumpaan tertutup Gabungan Rakyat Sabah (GRS), di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, pencalonannya sebagai Ketua Menteri disokong semua wakil rakyat PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bekerjasama di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Kami setuju sebulat suara mereka menamakan saya sebagai Ketua Menteri," katanya ketika ditanya siapa dinamakan sebagai Ketua Menteri.

Sidang media itu turut dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Bung Moktar Radin; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim.

SIDANG media Gabungan Rakyat Sabah selepas membuat keputusan sebulat suara menamakan Datuk Hajiji Mohd Noor (kanan) sebagai Ketua Menteri Sabah. NSTP/AZRUL AFFANDI SOBRY
SIDANG media Gabungan Rakyat Sabah selepas membuat keputusan sebulat suara menamakan Datuk Hajiji Mohd Noor (kanan) sebagai Ketua Menteri Sabah. NSTP/AZRUL AFFANDI SOBRY

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, GRS yang membabitkan PN, BN dan PBS berjaya memenangi 38 kerusi berbanding Warisan Plus mendapat 32 kerusi manakala Bebas (3).

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata beliau bersama semua ADUN daripada GRS akan ke Istana Negeri untuk upacara angkat sumpah Ketua Menteri, esok.

Ditanya mengenai jawatan Timbalan Ketua Menteri, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan selepas beliau mengangkat sumpah Ketua Menteri, esok.

Terdahulu, beliau berkata BN, PN dan PBS bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas memenangi PRN, Sabtu lalu.

"Saya mahu memaklumkan bahawa GRS yang terdiri daripada BN, PN dan PBS telah bersetuju bersama untuk kita membentuk kerajaan baharu.

"Saya difahamkan besok kita akan angkat sumpah. Jadi ini adalah mandat rakyat yang diberi kepada kami yang akan kita tunaikan sebagai tanggungjawab kepada rakyat agar Sabah terus bergerak ke hadapan.

"Kita akan meneruskan usaha untuk membela rakyat dan melakukan yang terbaik seperti digariskan dalam akujanji atau manifesto kita," katanya.

Katanya, beliau turut berterima kasih kepada rakyat Sabah yang mengundi selain mengingatkan wakil rakyat yang terpilih supaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

Sementara itu, Bung Moktar berkata beliau yakin Sabah mampu dipulihkan di bawah kepemimpinan GRS.

"Kami yakin Sabah akan pulih. Kita akan mulakan langkah kita untuk memastikan rakyat dibela, tidak lagi main politik. Kita mahu tumpukan usaha membangunkan negeri," katanya.

-BH Online

0 ulasan:

Catat Ulasan