Bekas Menteri Besar Johor, Osman Sapian hadir dalam satu majlis anjuran Pejuang malam tadi, tiga hari selepas Lembaga Disiplin Bersatu berkata Adun Kempas itu masih menjadi anggota parti tersebut.
Abu Bakar Yahya, Setiausaha Politik Tun Mahathir Mohamad malam tadi memuat naik gambar dan video kehadiran Osman dalam majlis meraikan jentera Pejuang daripada Johor yang berkempen dalam PRK Slim baru-baru ini.
Gambar-gambar itu memaparkan Osman berucap, bergambar dan makan malam bersama pendukung Pejuang dan turut melaungkan “Hidup Pejuang!”.
Dalam pada itu, ketika bercakap kepada sebuah portal berita sama ada beliau sudah meninggalkan Bersatu dan menyertai Pejuang, Osman hanya menjawab: “Belum lagi”.
Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Megat Najmuddin Megat Khas enggan mengulas perkara itu dan berkata, pihaknya hanya dapat bertindak jika terdapat aduan rasmi dibuat dan bukti dikemukakan.
Pendirian Osman amat penting bagi menentukan kestabilan kerajaan Johor yang Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai kelebihan dua kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 29-27.
Jika Osman dipecat daripada Bersatu dan kemudian mengalihkan sokongannya kepada pembangkang, kedudukanDUN Johor akan jadi tergantung atau dalam kedudukan 28-28.
PN sebelum ini mengambil alih kerajaan negeri dengan memiliki 29 kerusi berbanding 27 di pihak Pakatan Harapan (PH).
Osman sebelum ini juga hadir dalam kempen Pejuang dalam PRK Slim tetapi menjelaskan kunjungan itu hanya untuk menjenguk kawan-kawan.
Beliau malah didapati berkempen untuk calon Pejuang dalam PRK Slim itu.
Laporan awal ketika itu memetik Megat Najmuddin sebagai berkata keahlian Osman telah gugur dengan sendirinya berikutan kehadirannya dalam program Pejuang yang merupakan blok pembangkang dalam negara ini.
Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, perkara itu seolah-olah ditarik balik dengan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin mengatakan, siasatan akan dijalankan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil terhadap Osman.
Soalnya, sudahkah siasatan dijalankan terhadap Osman?
Kenapa lambat sangat?
Mengapa memecat pemimpin Bersatu yang lain begitu cepat dan pantas, bahkan tanpa siasatan dan tanpa dipanggil membela diri?
Kenapa pula siasatan lanjut mahu dijalankan terhadap Osman?
Bukankah kehadirannya dalam majlis Pejuang, malah berkempen dalam PRK Slim sudah terang lagi nyata?
Sementara itu, kehadiran Osman buat kali kedua dalam program Pejuang malam semalam jelas merupakan cabaran buat Bersatu agar berani mengambil tindakan atau memecatnya.
Beranikah Muhyiddin Yassin mengambil tindakan memecat Osman atau Muhyiddin lebih takut kerajaan negeri Johor tumbang akibat daripadanya?
Dalam pada itu, maklumat dari Johor menyebut, jika Osman dipecat, ada tiga hingga lima Adun Bersatu akan turut mengikut jejak langkahnya.
Apakah dalam hal ini, bekas Menteri Besar Johor itu bebas berbuat apa saja, termasuk terus hadir lagi dalam program-program Pejuang selepas ini? (Shahbudindotcom 07/09/2020)
Bekas askar kena jel 6 bulan pukul isteri 36 tahun
13 minit yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan