Khamis, 10 September 2020

PRN Sabah: Musa Aman dan Rahman Dahlan tidak tersenarai sebagai calon BN


Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak tersenarai sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung pada 26 September ini.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ini berikutan Musa tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk menjadi calon kepada pihaknya.

"Sebenarnya Musa tidak pernah memohon untuk menjadi calon BN dan tidak juga menawarkan kepada beliau untuk menjadi calon.

"Walau apapun kita menghormati semua pemimpin termasuklah Musa," katanya.

Bung berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai spekulasi Musa akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila yang baharu pada PRN Sabah dalam satu sidang media, hari ini.

Semalam, media melaporkan Musa memuat naik status 'I'm going back to Sungai Manila" (Saya akan kembali ke Sungai Manila)' di laman media sosial Facebook sehingga menjadi tular.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan juga turut tidak tersenarai sebagai calon mewakili BN untuk PRN Sabah.

-myMetro

0 ulasan:

Catat Ulasan