Khamis, 3 September 2020

‘Lembik’ usah mimpi UMNO, PAS menang mudah PRU-15 kata pemerhati politik

Laungan ‘bela nasib rakyat’, ‘muafakat nasional’ hanya retorik lapuk

UMNO dan PAS berkemungkinan tidak akan menang mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), setelah melihat sikap ‘lembik’ parti berkenaan dalam menangani beberapa isu negara kebelakangan ini.

Pemerhati politik, Mohd Luttfi Abd Khalid tidak yakin kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu menang mudah berikutan gagal menangani isu sekolah vernakular, Tanah Rizab Melayu dan pencerobohan tanah secara haram.

Beliau menyifatkan laungan ‘demi membela rakyat’ dan ‘permuafakatan nasional’ hanyalah retorik kosong lagi lapuk.

“Usah mimpi di siang hari kononnya bangsa Melayu dan umat Islam akan memberi sokongan padu hanya kerana kedua-dua parti terbesar Melayu, Islam itu telah bersatu padu dan sehati sejiwa setelah jatuhnya kerajaan sebelum ini.

“Bangsa dan umat sebenarnya telah berkali-kali dipermainkan oleh pemimpin-pemimpin politik Melayu, muslim yang ghairah berkehendak dan mengharapkan kepercayaan dan undi bangsa dan umat hanya menjelang setiap kali pilihan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, banyak kali undi dan mandat itu sekadar menjadi batu loncatan untuk memenangi kerusi di Parlimen semata-mata, di mana ia dilupakan setelah mendapat kuasa.

“Habis madu, sepah dibuang seperti kata pepatah. Ketika mereka mengkhianati amanah ini, kepentingan bangsa, umat dan para pengundi bukan lagi faktor yang menjadi perkiraan pertama.

“Mereka tidak kembali merujuk kepada pihak yang menaikkan mereka ke puncak kuasa apabila mereka melompat parti, mungkir janji, mengkhianati undi, menjual kesetiaan dan menggadaikan prinsip dan memperjudikan masa depan negara,” katanya.

Biarpun kecewa dengan sikap parti Melayu di dalam PN, Mohd Luttfi menyifatkan pemimpin di dalam parti PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lebih teruk.

“Datang PRU-15 nanti, rakyat, para pengundi dan orang Melayu, Islam akan menjadi semakin cerdik.

“Mereka akan mengusir kamu semua dari puncak-puncak kuasa yang kamu idamkan dan ‘ghanimah politik’ yang kamu berebut-rebut ke arahnya. Tunggu sajalah nanti,” katanya.

-ismaweb.net

0 ulasan:

Catat Ulasan