Jumaat, 19 April 2024

TERKINI: Tapak pembuangan timbunan beras sudah bersih, ditimbus tanah

 

TEMERLOH: Tempat pembuangan sampah dekat Jalan Gunung Senyum ke Rumpun Makmur yang digemparkan dengan penemuan timbunan beras dan makanan kering sejak petang semalam, sudah ditimbun tanah oleh pihak tertentu menggunakan jentera berat awal pagi tadi.

Sejak petang semalam, kawasan terbabit dikatakan menjadi tumpuan penduduk berdekatan untuk mengambil barang-barang yang dibuang tetapi masih berada dalam keadaan elok untuk dibawa pulang.

Sisa barang-barang yang ditinggalkan di situ kemudiannya ditimbus dengan tanah oleh pihak tertentu dengan menggunakan jentera berat bagi mengorek tanah dari tebing berdekatan sebelum menimbus dan meratakan tapak pembuangan sampah berkenaan.

Tinjauan di lokasi mendapati kawasan terbabit kini sudah bersih apabila hampir seluruh tapak itu sudah ditimbun dengan tanah baharu yang diangkut dengan jentera ke situ.

Penduduk, Roslan Awang Mohamad, berkata dia mengetahui pembuangan bahan makanan termasuk beras dan pelbagai makanan lain itu petang semalam sebelum bergegas meninjau kawasan itu kira-kira jam 3 petang.

"Saya terkejut melihat banyak kampit beras, tepung, gula, sardin, kotak dan bungkusan teh uncang, susu, biskut dan lain-lain dibuang di tempat buang sampah ini.

"Ketika itu sudah ramai penduduk yang datang untuk mengambil bahan makanan yang masih boleh digunakan, " katanya ketika ditemui pagi di tempat kejadian pagi ini.

Roslan yang juga Imam di Masjid Rumpun Makmur, berkata dia tidak mengetahui pihak yang melakukan pembaziran pembuangan barangan tersebut yang boleh diberi kepada golongan yang memerlukan.

"Saya dimaklumkan ada pihak telah menutup kawasan ini dengan tanah menggunakan jentera berat dan dipercayai dilakukan awal pagi tadi.

"Di sini ada kira-kira 3,000 penduduk di Kampung Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Kampung Pulau raya, Kampung Teluk Jejak dan taman perumahan yang berhampiran," katanya.

Katanya, kalau diagihkan kepada golongan asnaf yang terdapat di sekitar kawasan terbabit pastikan ia membawa kegembiraan buat mereka.

Tinjauan di lokasi pagi ini, mendapati tempat itu sudah dibersihkan dan terdapat kesan tanah di lereng bukit berdekatan dikorek sebelum diangkut bagi menimbus tapak pembuangan bahan makanan itu.

Kawasan itu turut dilawati pegawai dan anggota SWCorp Cawangan Temerloh untuk membuat siasatan.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, dalam kenyataan media yang dikeluarkan, berkata beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu pembuangan barangan bahan makanan yang berlaku di situ.

"Beras dan barangan dapur itu merupakan stok simpanan yang sentiasa disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika saya menjadi Ahli Parlimen sebelum ini.

"Barangan ini disediakan menggunakan peruntukan peribadi saya sebelum tempoh Pilihan Raya Umum (PRU ) ke-15 diadakan pada 2022 dan ketika itu semua dimaklumkan tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan," katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat UMNO Bahagian Kuala Krau.

Katanya, pada 5 April 2024, beliau menerima aduan daripada jiran terdapat bau busuk di stor simpanan barangan tersebut.

"Setelah diselidik di stor berkenaan terdapat bangkai tikus dan beras serta barangan dapur telah dicemari bubuk beras.

"Sebahagian daripada beras ini telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar dan sebahagian dilupuskan," katanya.

-BH Online 

0 ulasan:

Catat Ulasan