Jumaat, 12 April 2024

Akmal Saleh bidas Nga Kor Ming cuba kaitkan boikot dengan ekonomi negara

 Ketua Pemuda Umno itu berkata ekonomi jadi teruk sebab ada menteri macam Nga Kor Ming.

Dr Akmal Saleh beritahu Nga Kor Ming bahawa ekonomi tetap naik walaupun boikot dibuat ketika zaman pentadbiran Najib Razak.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh membidas seorang naib pengerusi DAP kerana cuba menyalahkan kempen boikot hingga satu pasangan suami isteri mengalami kesusahan.

Akmal, yang mula menyeru KK Mart diboikot susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah, tertanya-tanya sama ada Nga Kor Ming mahu inisiatif itu dipertanggungjawabkan atas keadaan ekonomi semasa.

“Dulu zaman Najib Razak kita buat kempen boikot, tetapi ekonomi tetap naik dengan baik,” katanya, dengan merujuk kepada bekas perdana menteri.

“Kepada YB menteri Nga Kor Ming yang kurang bijaksana, ekonomi negara jadi teruk sebab ada menteri yang macam kamu,” katanya di Facebook.

Akmal menjawab hantaran Nga di X, di mana menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata desakan boikot oleh pihak tidak bertanggungjawab telah menyebabkan pekerja mengalami akibatnya.

Nga turut berkongsi keratan berita mengenai pasangan suami isteri berusia 50-an, yang mengalami pemotongan syif di restoran rantaian makanan segera dan gaji dikurangkan kerana kempen boikot yang berpanjangan.

“Jangan sekali masuk dalam perangkap penghasut. Negara kita memerlukan usaha semua pihak untuk membangunkan ekonomi negara,” katanya.

Beberapa jenama antarabangsa di Malaysia, termasuk Starbucks dan McDonalds telah diboikot sejak Israel melancarkan serangan di Gaza.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan