Ahad, 28 April 2024

Chow Yun Fat: Pelakon Hong Kong Yang Terkenal Di Hollywood

 "Chow Yun Fat: Pelakon Hong Kong Yang Terkenal Di Hollywood."

Bagi peminat wayang Hong Kong, mesti nama pelakon ini terngiang-ngiang di kepala kita, terutamanya lakonan beliau sebagai watak protagonis yang padu dalam wayang-wayang aksi!

Sampai sekarang populariti Chow Yun Fat masih lagi dikenali ramai, walaupun dalam kalangan selebriti di Hollywood! Mari kita kenal dulu siapakah pelakon bernama Chow Yun Fat ini.

Beliau lahir pada 18 Mei 1955 di Pulau Lamma, Hong Kong. Hidup beliau pada zaman kanak-kanak hanya biasa-biasa saja, ibunya pula bekerja menjual sayur saja dan ayahnya bekerja sebagai pemandu lori tank minyak Shell Oil Company. 

Masuk tahun 1965, Chow sekeluarga berpindah ke kawasan bandar dalam Hong Kong untuk mulakan hidup baru. Pada umur 17 tahun, Chow berhenti sekolah dan memulakan kerja buruh dengan gaji yang rendah seperti mencuci pinggan dan mop lantai.

Kemudian, Chow menyertai kelas lakonan demi mencapai cita-citanya sebagai pelakon. Pada tahun 1973, beliau mendapat panggilan untuk menjadi pelakon di bawah program TV bernama TVB. Sejak menjadi pelakon TV, kepopulariti Chow meningkat begitu mendadak kerana rupa kacaknya dan perwatakannya yang menarik.

Drama TV yang menaikkan nama beliau ialah drama Shanghai Beach (1980) di mana beliau berlakon sebagai seorang gangster bersuit putih bernama Hui Man Keung.

Dari pelakon TV, Chow mendapat tawaran berlakon yang lebih besar iaitu sebagai pelakon filem. Chow tanpa ragu-ragu menerima tawaran itu! Filem pertama lakonan beliau ialah The Story of Woo Viet (1981) yang mengisahkan kesukaran pelarian Vietnam untuk memulakan hidup di Amerika Syarikat (AS).

Beliau pernah memenangi anugerah Golden Horse Award sebagai pelakon terbaik pada tahun 1985, melalui lakonan beliau dalam filem perang berjudul Hong Kong 1941 (1984). Dari anugerah ini, beliau bekerjasama dengan pengarah terkenal pada waktu itu, John Woo. 

Filem pertama hasil kerjasama mereka iaitu A Better Tomorrow (1986) yang mendapat sambutan yang begitu hangat dan menjadikan Chow sebagai pelakon superstar seluruh Asia, kemudian menerbitkan sekuel seterusnya iaitu A Better Tomorrow II (1987). 

Beliau juga berlakon bersama-sama pengarah bernama Ringo Lam dan menghasilkan filem-filem yang juga popular seperti City on Fire (1987) dan Wild Search (1989). 

Masuk era 1990-an, Chow mencuba nasib berlakon dalam dunia Hollywood, mengikut jejak otai-otai perfileman Hong Kong. Tapi hidup di AS tidak mudah, Chow harus belajar bahasa Inggeris dan memperkasakan skill lakonannya selama dua tahun.

Filem Hollywood pertama beliau ialah The Replacement Killers (1998) tapi filem ini tidak mendapat sambutan yang baik. Tapi, Chow tidak menyerah sehinggalah filem Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000) menjadi filem yang terhangat dan Chow mendapat anugerah Filem Bahasa Asing Terbaik dalam Academy Award.

Beliau terus berlakon sebagai pelakon Hollywood di AS, seperti berlakon sebagai kapten Sao Feng dalam filem Pirates of the Caribbean: At World's End (2007). Pada tahun 2014, beliau kembali ke tanah air untuk memajukan dunia perfileman Hong Kong sehingga sekarang.

Inilah kisah hidup pelakon Hong Kong yang terkenal, dari seorang kanak-kanak yang hidup serba ada saja, menjadi pelakon yang begitu peramah dan hidup bersederhana walaupun hidupnya mewah. Berusaha bersungguh-sungguh adalah kunci kejayaan setiap manusia!

Oleh: Dinie Liow

......

Sumber 

0 ulasan:

Catat Ulasan