Isnin, 1 April 2024

Bolasepak:Pan Gon sedia tinggalkan Harimau Malaya

 Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

KUALA LUMPUR: Selepas tumbang dua kali berturut-turut menentang Oman yang menyaksikan Malaysia terjerumus ke tangga ketiga Kumpulan D, kem skuad Harimau Malaya bakal menerima satu lagi tamparan yang mampu menggegarkan kem skuad kebangsaan.

Ini susulan perkhabaran bahawa barisan kejurulatihan diterajui Kim Pan Gon dikatakan bersedia untuk meninggalkan skuad kebangsaan sekiranya khidmat mereka tidak lagi diperlukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut sumber, barisan kejurulatihan Pan Gon sudah menghantar surat kepada badan induk itu dan menuntut pampasan hanya tiga bulan sekiranya FAM membuat keputusan untuk menamatkan khidmat mereka.

"Saya difahamkan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya termasuk Pan Gon sudah menghantar surat itu sekali gus bersedia untuk meninggalkan pasukan kebangsaan jika khidmat mereka tidak diperlukan.

"Jika mengikut perkiraan, kontrak mereka sepatutnya berakhir pada tahun depan namun mereka sudah bersedia meninggalkan pasukan dengan hanya meminta tiga bulan gaji saja," katanya ketika ditemui BH Sukan, semalam.

Sebagai rekod, rentak cemerlang skuad negara dalam dua perlawanan pertama gagal diteruskan apabila mereka tumbang 0-2 dalam dua perlawanan menentang Oman di Muscat dan juga di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.

Dua kekalahan berturut-turut di tangan skuad bimbingan Jaroslav Silhavy itu menyaksikan skuad negara melepaskan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan D dan ketinggalan tiga mata di belakang Oman dan juga Kyrgyzstan.

Perkembangan ini meletakkan Malaysia dalam laluan yang sukar untuk mencipta sejarah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 buat kali pertama yang turut memberi slot automatik ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Justeru, baki dua lagi perlawanan yang akan berlangsung pada Jun ini berdepan Kyrgyzstan di tempat lawan dan Chinese Taipei di laman sendiri menjadi aksi penentuan bagi memastikan impian mereka ke pusingan seterusnya tidak berkecai.

Sebagai rekod, antara pencapaian Pan Gon adalah berjaya melonjakkan skuad kebangsaan sehingga menghuni ranking ke-130 dunia selain berjaya membawa Malaysia mara ke Piala Asia 2023 secara merit serta naib juara Pestabola Merdeka 2023.

-BH Online 

0 ulasan:

Catat Ulasan