Khamis, 29 Februari 2024

Pasar Payang: Kenangan kebebalan politik

 Pasar Payang: Kenangan kebebalan politik

Seingat aku, Pasar Payang telah mengalami pembinaan semula sebanyak tiga kali. Kali pertama sekitar tahun 60-an dimana pasar yang terletak di Kampung Tanjung, dipindahkan ke tapak Pasar Payang sekarang. Keduanya sekitar tahun pertengahan 80-an berserta dengan bangunan parkir MBKT.

Waktu pembinaan itu, tapak pasar sementara dibina di kaki Bukit Puteri, tapak Bazar Warisan sekarang. Semenjak dari itu, sehinggalah sekitar 2016, iaitu lebih kurang 30 tahun berlalu, Pasar Payang dicadangkan untuk dibina semula.

Ia menjadi antara pusat tarikan pelancong yang utama bagi Negeri Terengganu, kerana tidak lengkap dirasakan jika ke Kuala Terengganu waktu itu, tetapi tidak singgah sebentar di Pasar Payang. Bermacam hasil asli Negeri Terengganu terdapat di situ. Dahulu, selain hasil kerja tangan seperti batik, songket atau tembaga, makanan tradisi, telur penyu adalah produk ‘rare’ yang sangat dicari sebelum diharamkan jualannya.

Dan zaman itu, tidak perlulah kita sebut perihal ‘frozen food’ ‘courrier’ ‘money transfer’ dan sebagainya kerana ia tidak wujud sama sekali dalam urusniaga di tahun 80-an itu. Mesti bawa tunai dan pandai-pandailah nak bawa pulang kerepok lekor, nasi dagang atau lain-lain juadah tradisi dengan usaha sendiri. Berbeza sekarang.

Menjadi salah seorang saksi hidup perubahan persekitaran Pasar Payang semenjak beberapa zaman itu, aku dapati ada beberapa perkara yang tidak dapat ditukar ganti. Antaranya ialah menara jam di bulatan kecil di persimpangan ke Jalan Masjid, ke Jalan Banggol dan Kampung Cina. Ia menjadi foto ikonik setelah ketiadaannya. Tidak dapat dipastikan kenapa ia dirobohkan.

Pada malam hari jualan lelong longgokan durian, jika kena musimnya, berderetan sehingga ke Taman Syahbandar. Pasar Payang pernah dinaiki air Sungai Terengganu sewaktu banjir besar 1986. Semua nostalgia ini menyentuh hati bagi yang pernah melihat kewujudannya.

Sebelum berdirinya blok-blok bangunan perniagaan berhadapan dengan Balai Bomba dan Mydin, di situ dahulunya ialah perkampungan orang Melayu. Kampung Paya Keladi dan Kampung Daik. Di barisan hadapannya ada deretan kedai-kedai kayu dikuasai majoriti oleh peniaga India yang menjual rempah ratus. Selain untuk makanan, ada juga dijual rempah bagi perubatan seperti sepang kederang, suda ayah, songkok ayah, batu kawi. Pasti ada yang tidak pernah mendengarnya.

Ramai kawan-kawanku tinggal di Paya Keladi. Rumah-rumah mereka semuanya tinggi-tinggi kerana kawasan berpaya, mudah banjir. Kemudian atas nama pembangunan mereka dipindahkan. Setentang dengan bangunan parkir MBKT itu pula terdapat deretan kedai. Dan yang paling terkenal ialah kedai buku Alam Akademik atau lebih mesra dipanggil orang ‘Kedai Pok Loh Yunan’.

Namun, hal sebaliknya berlaku kepada Kampung Cina yang hanya terletak bersebelahan. Mereka kekal di situ dan tidak berpindah. Di tingkat atas premis perniagaan mereka biasanya mempunyai tempat bagi burung walit membiak. Kedai mereka dahulunya hanya mempunyai pintu depan dan di belakangnya tempat air buangan terus ke sungai.

Tetapi setelah Pulau Warisan diwujudkan dengan menambak sebahagian Sungai Terengganu, mereka boleh pula membuka sebuah lagi kedai di pintu belakang, terus mengadap Pulau Warisan itu. Alangkah beruntungnya mereka, dapat dua lot kedai atas satu tanah.

Ini bukan isu perkauman, cuma sekadar mahu memberi ingat kepada politikus Melayu Islam supaya menjadikan cara cerdik berpolitik kaum Cina ini sebagai pengajaran bahawa walau berbeza kita dari segi ideologi, namun kepentingan agama dan bangsa, mesti kita duduk bersepakat. Dahulukan rakyat kerana mereka mengharapkan kita sebagai pemimpin mereka. Kita tidak mahu berpolitik sehingga memangsakan rakyat. Lihat di Terengganu, akibat politik sempit, sanggup mereka menahan wang royalti hak milik rakyat Terengganu. Ia tidak berlaku kepada kaum lain.

Tanpa malu, PAS akui yang pembinaan Pasar Payang ini adalah daripada zaman pemerintahan Najib. Ini adalah sikap profesional, jujur yang jelas ditunjukkan oleh pimpinan Kerajaan Negeri Terengganu dibawah kepimpinan Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang walaupun berbeza pegangan politik, tetapi jika ia memberikan kebaikan yang besar kepada rakyat, kita mesti bersetuju. PAS jelas mahu meninggalkan kebebalan berpolitik. 

Dan sikap keadilan itu jelas ditunjukkan oleh Dr Sam dengan memberikan peruntukan penuh kepada Adun-Adun pembangkang dalam pemerintahan penggal lalu. Hanya sahaja, Terengganu kepupusan pembangkang kali ini, maka tiadalah peruntukan kepada mereka.

Semoga Allah merahmati peniaga-peniaga dan pelanggan-pelanggan di Pasar Payang. Dengan adanya kemudahan yang sangat selesa ini, diharapkan juga mereka memperbanyakkan syukur kepada Allah. Tahniah kepada semua dan selamat menjalankan perniagaan dengan jujur dan ikhlas. Peniaga yang jujur akan menjadi jiran Rasulullah SAW di syurga.

Mohd Nasir Abdullah

29 Februari 2024

0 ulasan:

Catat Ulasan