Ahad, 4 Februari 2024

Jual nilai bukan komoditi : Tentang kejayaan Khairul Aming (KA) buat kesekian kali.

 Jual nilai bukan komoditi

Tentang kejayaan Khairul Aming (KA) buat kesekian kali. 

Jualan USD1 juta setiap minit mungkin perkara biasa bagi syarikat multinasional seperti Amazon. Tetapi bagi syarikat bersaiz kecil dan sederhana, jualan RM 1 juta dlm masa 3 minit memang suatu yang luar biasa.

Dalam dunia bisnes hari ini di mana persaingan semakin lama semakin sengit, adalah menjadi semakin sukar untuk sesuatu jenama itu mencipta perbezaan (differentiation) dari segi produk mahupun harga.

Situasi ini dipanggil 'commoditization' di mana produk menjadi semakin tidak boleh dibezakan di antara satu sama lain.

Maka apa yang membuat jenama KA berbeza? Ia adalah pada 'nilai' yang dibina.  Jika nilai sekadar pada 'rasa', saya percaya ada sahaja sambal atau dendeng yang lebih sedap. Jika 'nilai' hanya sekadar pada 'harga', ada saja sambal dan dendeng yang dijual pada harga yang lebih murah.

Bersaing menggunakan ciri produk seperti rasa, harga, 'packaging' dan sebagainya, mudah ditiru pesaing. Tetapi nilai seperti keikhlasan, kesantunan dan kejujuran adalah sesuatu yang tulen (authentic) dan tidak boleh dibuat-buat. Ia lahir bukan hanya dari kebijaksanaan tetapi juga dari hati yang tulus.

Philip Kotler, sifu pemasaran dalam satu wawancara menyatakan sekiranya ada seseorang yang ingin belajar ilmu pemasaran dengan beliau untuk mencipta kekayaan, akan ditolak. Menurut beliau, ilmu pemasaran adalah untuk membantu lebih ramai orang, dan untuk menjadikan dunia ini lebih baik (to make this world a better place to live). Sebab itu saya menolak pendapat bahawa 'bad marketing is marketing'.

Islam mengajar tentang kepentingan niat. Niat yang baik dan betul akan melahirkan tindakan (tentunya beserta ilmu yang benar) yang menjadikan dunia ini lebih baik dan aman. Bagi orang Islam, semoga semua usaha serta penat lelah tersebut menjadi ibadah, diberi ganjaran bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Tahniah saudara KA. Bukan sahaja kerana mencapai jualan berjuta, tetapi kerana contoh baik yang ditunjukkan. Semoga saudara KA terus maju dan ramai lagi KA akan dilahirkan dalam banyak lagi industri yang berbeza, InshaAllah

Kredit: FB Suharni Maulan

0 ulasan:

Catat Ulasan