Ahad, 29 Mei 2022

Selepas Khir Toyo tawar jadi calon, Noh kata ‘ini bukan masa melobi’

 

Ketua Umno Selangor Noh Omar tidak berpuas hati dengan pemimpin politik yang mula menawarkan diri menjadi calon selepas parti itu mengalami kekalahan tiga kali dalam pilihan raya umum sejak 2008.

PETALING JAYA: Ketua Umno Selangor Noh Omar “menyelar” sikap pemimpin politik negeri itu yang mula menawarkan diri menjadi calon pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Kenyataan Noh itu menyusul selepas bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo, hari ini, menawarkan diri bertanding di Parlimen Sungai Besar.

Kerusi Parlimen Sungai Besar ketika ini disandang wakil rakyat Bersatu, Muslimin Yahya, yang juga timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi, selepas menang dengan majoriti 714 undi pada PRU14.

Mengulas lanjut, Noh berkata soal siapa hendak menjadi calon mewakili Umno tidak sepatutnya timbul pada masa sekarang.

“Ini bukan masanya untuk melobi menjadi calon kerana bagi saya, kita perlu turun padang melibatkan rakyat,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Katanya, pemimpin seharusnya mengambil kesempatan bertemu rakyat dalam usaha memastikan Umno kembali berkuasa di negeri itu pada PRU15.

“Kita di Selangor sudah tiga kali kalah dalam PRU, inilah sebenarnya masa untuk kita dekati dan mengembalikan kepercayaan rakyat di negeri ini.

“Saya berharap semua pemimpin dapat mengukuhkan perpaduan dan paling penting teruskan khidmat kepada rakyat,” katanya.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan