Menurut Ellie, perceraian itu terjadi kerana mereka sudah tidak serasi bersama lagi selepas 19 tahun berkongsi hidup.
Selepas 19 tahun mendirikan rumah tangga, akhirnya pengarah, jurulatih lakon dan pelakon berkaliber, Ellie Suriaty Omar sah bercerai dengan suaminya, aktor Azri Iskandar dalam prosiding Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur (Keramat), Kuala Lumpur sebentar tadi.
Terdahulu, Ellie yang pernah memenangi anugerah Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-26 menerusi filem Penanggal telah memfailkan permohonan cerai ke atas suaminya, Azri sebelum Ramadan yang lalu.
Menurut Ellie, perceraian itu terjadi kerana mereka sudah tidak serasi bersama lagi selepas 19 tahun berkongsi hidup dan melayari bahtera perkahwinan.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Azrell Omar Azri Iskandar, 18 dan Nur Azreen, 13 serta dua lagi yang telah meninggal dunia sebelum sempat dilahirkan.
“Ini adalah suatu keputusan yang sukar untuk saya buat. Tetapi, saya sudah memikirkannya masak-masak dan akhirnya, ia perlu dilakukan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Azri untuk segala saat-saat indah, kenangan manis serta pengalaman hidup yang kami lalui bersama sebagai suami isteri.
“Dia juga seorang bapa yang baik dan cukup menyayangi anak-anaknya.
“Tapi, rasanya sudah tertulis sampai di sini sahaja jodoh kami. Saya berharap ramai yang akan mendoakan yang terbaik untuk kami,” katanya.
Ellie masih lagi menjalani penggambaran filem Telaga Suriram arahan Osman Ali selepas terlibat sebagai konsultan untuk pementasan Putri Santubong: The Warrior Princess oleh Perkampungan Budaya Sarawak di Kuching, Sarawak pada tahun lalu. - Getaran, 17 Mei 2022
0 ulasan:
Catat Ulasan