Isnin, 23 November 2020

Kenapa saya perjuangkan isu pencerobohan Tanah -Presiden Isma

 


Mungkin ada yang bertanya, kenapa saya perjuangkan isu pencerobohan tanah di Raub dan di Pahang? Apa kepentingannya dan impak apa yang saya harapkan?

Saya ingin jelaskan sama ada di Raub, di Pahang atau di mana-mana sahaja, isu tanah ini bukanlah satu perkara kecil dan boleh dipandang enteng. Tanah bukan seperti barang dagangan. Tanah adalah lambang kewujudan bangsa, lambang peradaban dan lambang akan sejarah sesuatu bangsa. 

Penjajah British amat sedar akan perkara ini maka sebab itu mereka akur dengan tuntutan Raja-Raja Melayu bahawa hak orang Melayu di atas tanah ini harus dipertahankan dengan memberikan apa yang diistilahkan sebagai Tanah Rizab Melayu.

Tanpa tanah, suatu bangsa itu akan hilang kewujudan dan keabsahannya. Kemuliaan bangsa itu akan hilang dan sebaliknya akan dihina dan menjadi tidak lebih seperti pelarian sahaja. Malah jika dibiarkan suatu bangsa itu hilang tanahnya, maka ianya akan menjadi pengemis dan pelarian di bumi sendiri. Inilah yang berlaku di Palestin dan di negara-negara lain. 

Namun, apa yang menyedihkan ialah wujudnya mereka-mereka yang tidak sedar diri oleh kerana kerakusan dan haloba duniawi, sehingga sanggup menggadaikan tanah-tanah rizab Melayu yang kini hanya tinggal 12% sahaja atau mungkin kurang daripada itu. 

Mereka juga menggadaikan tanah-tanah kerajaan yang bernilai jutaan ringgit kepada tauke-tauke yang membiayai hidup mereka. Mereka tidak sedar sebenarnya mereka telah menggadaikan maruah bangsa Melayu, memperjudikan nasib anak cucu mereka sendiri, menjatuhkan maruah watan dan bangsa hanya kerana nafsu serakah diri yang menggila. 

Sebab itu tidak ada perkataan lain yang lebih layak yang harus diberikan kepada mereka melainkan ‘PENGKHIANAT’. Walaupun mereka memegang jawatan dan mempunyai kedudukan yang berkuasa tapi mereka tidak lebih hanyalah bahan ketawa dan mainan “tauke-tauke”. Sungguh memalukan.

Saya tidak akan perkatakan sebegini kalau ia hanya melibatkan 10 ekar atau 20 ekar tetapi sudah melibatkan ribuan malah mungkin mencecah jutaan hektar yang telah hilang di seluruh negara. Walaupun ada undang-undang yang menjaga tanah rizab Melayu dan tanah kerajaan, namun ia tidak lebih dari sekadar nota-nota yang tercatit di dalam kertas-kertas yang layak disampahkan.

Saya benar-benar tidak faham apa yang dilakukan oleh penasihat undang-undang negeri, pihak Pejabat Tanah dan Galian, pihak Jabatan Perhutanan, pihak SPRM dan sebagainya. Semuanya menyepi diri dan mengunci mulut dalam isu-isu sebegini. 

Apa erti politik dan kepimpinan Melayu kalau tanah sudah hilang? Apakah kita hanya mahu dan sanggup memerintah tanah orang? Ini kegilaan apa namanya? Kalau kita telusuri sejarah maka kita akan dapati banyak tanah orang-orang Melayu yang telah hilang. 

Telah hilang baik di utara mahupun di selatan tanah air yang menjadi bukti bahawa ianya sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua. Itu belum saya sebut lagi beberapa pulau di dalam negara juga telah tergadai.

Ini bukan isu mainan tetapi isu kelangsungan hidup orang Melayu. Jangan kita biarkan pengkhianat-pengkhanat ini bermaharajalela meratah dan menggadai hak kita sebagai rakyat. 

Ayuh, marilah bersama-sama pejuangkan tanah air tercinta ini. Saya dan kawan-kawan tidak mampu berjuang tanpa sokongan rakyat semua. 

Ini adalah isu survival orang Melayu!

Aminuddin Yahaya

Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA

23 November 2020

#MembangunUmatBeragenda

#MengangkatSuaraUmat

____

▪️Telegram: telegram.me/aminuddinyahaya

▪️Twitter: www.twitter.com/AminuddinYahaya

0 ulasan:

Catat Ulasan