Ahad, 15 November 2020

Tanah seluas 18 hektar di Rompin pula diceroboh

 

ROMPIN, 28 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin dilaporkan mengesan aktiviti penerokaan secara haram di kawasan Hutan Simpan Lesong seluas 18 hektar, di sini.

Pegawai PHD Rompin, Shairani Mamat berkata, tanah itu digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengusahakan tanaman durian Musang King.

Beliau berkata, kegiatan berskala besar itu dilakukan di Kompartmen 74 dan 75 membabitkan penggunaan pelbagai jentera berat untuk membersih dan meratakan kawasan selain aktiviti menanam pokok.

Katanya, selain Musang King, pihak terbabit turut menanam pokok durian belanda, nangka dan kelapa, malah mereka membina stor simpanan barangan serta pejabat dalam kawasan berkenaan.

“Serbuan dilakukan semalam diketuai Pegawai Pemelihara Hutan Daerah (PPDH) Rompin, Yusof Othman bersama lebih 10 anggota penguat kuasa selepas beberapa kali melakukan intipan.

“Pihak terbabit dipercayai mahu membuka lebih luas kawasan tanaman durian Musang King kerana terdapat jentolak sedang melakukan kerja membersihkan hutan selain benih durian yang belum ditanam juga masih lagi banyak disimpan di tapak semaian,” katanya seperti dilapor Harian Metro, hari ini.

Shairani berkata, tindakan tegas diambil berikutan kedegilan pihak terbabit terutama selepas lima kali sesi nasihat dan amaran diberikan supaya mereka memberhentikan kerja penerokaan seterusnya meninggalkan Hutan Simpan Lesong.

“Bagaimanapun amaran yang diberikan tidak dipedulikan pihak terbabit, justeru kita terpaksa bertindak tegas melakukan serbuan bagi memastikan pihak berkenaan dikenakan tindakan undang-undang.

“Kita menahan empat lelaki berumur antara 29 hingga 63 tahun, turut disita sebuah jentolak, masing-masing dua traktor dan jengkaut serta tiga kenderaan empat roda,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana kesalahan menceroboh dan berada dalam hutan simpan tanpa permit.

“Kita memandang serius kegiatan menceroboh hutan simpan untuk aktiviti pertanian dan kegiatan lain tanpa lesen atau kebenaran, tindakan tegas menanti pihak yang bersalah,” katanya.

-ismaweb

0 ulasan:

Catat Ulasan