Isnin, 23 November 2020

Alif Satar sahkan dirinya positif Covid-19

 


Penyanyi Alif Satar, 30, menerusi entri Instagram (IG) sebentar tadi mengesahkan dirinya positif Covid-19.

Bekas peserta cabaran Ironman Langkawi 2019 itu berkata, beliau telah melakukan beberapa ujian saringan Covid-19 dalam kesibukan penggambaran.

Kelmarin, Alif membuat persembahan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam mendendangkan lagu I Want You To Love Me pada Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35.

Duta rasmi produk jenama Salon Pas berkenaan mengakui terkejut dengan keputusan ujian saringan yang diterima, hari ini.

“Malangnya, keputusan terkini yang baru diterima hari ini menunjukkan saya positif.

“Perkara ini amat mengejutkan dan mendukacitakan,” kata bapa kepada tiga anak tersebut dalam entri itu.

Alif berkata, perkara pertama yang difikirkan adalah keselamatan keluarga, isteri dan anak-anak termasuk rakan di set penggambaran dan kontak rapat.

Melalui perkongsian itu, Alif menyatakan sudah menyerahkan senarai nama dan butiran kontak yang dikenal pasti dalam tempoh 14 hari lalu kepada Kementerian Kesihatan.

“Saya mohon maaf atas segala kesulitan ini. Saya mohon doa semua supaya diberi kesembuhan dan kekuatan untuk menempuhi dugaan Allah SWT.

“Saya berdoa supaya semua terhindar daripada sebarang kemudaratan,” ujarnya sambil menambah sedang menjalani proses kuarantin.

-malaysiadateline

0 ulasan:

Catat Ulasan