Isnin, 30 November 2020

82 kes curi balak di Pahang sepanjang PKP

 Balak curi di Hutan Simpan Chini dicampur dengan balak berlesen bagi mengaburi pihak berkuasa.NSTP/MOHD RAFI MAMAT

Balak curi di Hutan Simpan Chini dicampur dengan balak berlesen bagi mengaburi pihak berkuasa.NSTP/MOHD RAFI MAMAT

KUANTAN: Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) merekod 82 kes curi balak dan kayu bergergaji sepanjang lapan bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa), JPNP Nor Azirim Ahmad, berkata Jun mencatat kegiatan mencuri balak tertinggi, iaitu 19 kes diikuti Julai dan September masing-masing 15 kes, Oktober (10), Ogos (tujuh), April (enam) serta Mei dan Mac masing-masing lima.

Katanya, dalam tempoh berkenaan pihaknya turut melumpuhkan beberapa kes kegiatan melombong emas secara haram terutama di kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis.

"Sepanjang PKP kita dapati kegiatan mencuri balak dan kayu bergergaji meningkat dengan pelbagai cara dan helah digunakan sindiket terbabit untuk melepaskan diri," katanya, dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, terbaharu sindiket curi balak dikesan mencampurkan balak berlesen dengan balak curi di pusat penyimpanan balak atau matau.

Katanya taktik yang sama dikesan di Hutan Simpan Berkelah, Jerantut membabitkan sebanyak 300 tual balak pelbagai spesies bernilai RM300,000 berlaku pada Jun lalu.

"Kegiatan curi balak ini menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian.

"Tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 menanti pihak yang didapati bersalah," katanya.

-BH Online

0 ulasan:

Catat Ulasan